Menara azan masjid warisan 169 tahun di Jasin rosak disambar petir
Shuhada Abdul Kadir
Jun 20, 2022 14:43 MYT
Jun 20, 2022 14:43 MYT
JASIN: Hujan lebat serta angin kencang di sekitar Melaka lewat pagi tadi mengakibatkan puncak menara azan sebuah masjid warisan yang berusia 169 tahun di Serkam, Jasin rosak akibat disambar petir.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, turut menyebabkan beberapa bahagian atap pecah dan mengakibatkan ruangan solat Masjid Serkam Pantai, digenangi air.
Menceritakan hal itu, Timbalan Pengerusi Masjid Serkam Pantai, Zakaria Abu Bakar berkata, ketika kejadian, kira-kira 30 jemaah telah selesai menunaikan solat Subuh dan sedang berteduh sementara menunggu hujan reda, untuk pulang ke rumah.
Katanya, secara tiba-tiba mereka terdengar bunyi hentaman kuat sebelum terlihat sebuah bongkah batu jatuh dari bumbung ruang solat masjid dan menyebabkan berlaku kebocoran atap.
Jelasnya, bagaimanapun dia bersyukur memandangkan tiada jemaah berada di tengah ruangan solat ketika kejadian berkenaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Bagaimanapun jelasnya, hanya sebuah kereta milik salah seorang jemaah mengalami kerosakan pada cermin ekoran terkena serpihan batu daripada puncak menara azan berkenaan.
“Kerosakan di puncak menara tu kita perlu pantau memandangkan masjid ini sebuah masjid warisan yang dipantau Perzim dan Jabatan Warisan. Jadi kita memerlukan agensi tersebut untuk melihat kesan kerosakan masjid warisan kita ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, itu merupakan kali pertama bahagian puncak menara masjid warisan bersaiz ukur lilit dua meter dan 1.2 meter tinggi itu dipanah petir.
Katanya, buat masa ini pihaknya sedang menunggu tindakan lanjut daripada pihak Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) kerana masjid berkenaan merupakan masjid sejarah yang perlu mendapat nasihat badan itu untuk sebarang kerja-kerja pembaikan.
Untuk rekod, Masjid Serkam Pantai yang mula dibina pada 1853 itu telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak Tanah Bersejarah di bawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976 pada 27 Mac 1980.