Menantu PM buat laporan polis, dakwa kenyataan SakMongkol AK47 berunsur fitnah
Bernama
November 27, 2015 21:16 MYT
November 27, 2015 21:16 MYT
Menantu kepada perdana menteri, Daniyar Kesikbayev hari ini membuat laporan polis mendakwa tulisan Anggota Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz melalui blognya 'SakMongkol AK47' mengandungi kenyataan palsu, fitnah dan merosakkan reputasinya.
Laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada pukul 4.30 petang oleh peguamnya Noorhajran Mohd Noor.
Sebelum ini, Daniyar menuntut permohonan maaf daripada anggota DAP itu berkaitan kandungan artikel tersebut.
Artikel tersebut bertajuk 'Faulty Reward System And Changeable Governments' mendakwa satu projek besar tanpa melalui proses tender telah diberikan kepada Daniyar sebagai menantu perdana menteri pada 24 Nov lepas.
"Anak guam saya sebagai warga negara luar amat menyesali tindakan serta fitnah yang telah dibuat terhadapnya," kata Noorhajran.
"Ia juga satu perbuatan tidak sihat untuk masa depan negara di mana sesiapa sahaja dengan sikap tidak bertanggungjawab dapat memburukkan serta memfitnah seseorang dengan senangnya," katanya dalam satu kenyataan.
Noorhajran berkata anak guamnya mencabar supaya Mohd Ariff Sabri mengemukakan bukti dakwaannya serta menyatakan di mana beliau memperoleh maklumat itu.
"Mohd Ariff Sabri bukan sahaja memfitnah anak guam saya tetapi telah memfitnah perdana menteri dalam penulisan blognya," katanya.