Menantu Muhyiddin nafi larikan diri, sentiasa berkomunikasi dengan pengawai penyiasat SPRM

Astro Awani
Ogos 9, 2023 17:18 MYT
Muhammad Adlan (gambar) dan Mansoor Saat dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau meninggalkan Malaysia secara sah dan tidak pernah ditangkap atau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan sebelum ini.
Peguam yang mewakili Muhammad Adlan, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata anak guamnya dihubungi SPRM dan menjawab secara bertulis melalui surat bertarikh 3 Jun lalu dengan menyatakan keluar negeri atas satu urusan dan akan kembali selepas urusan itu selesai.
Malah Muhammad Adlan juga telah memberikan tarikh bila dia akan kembali ke tanah air, dan terkesan dengan tindakan SPRM memburunya.
“Anak guam kami secara mutlak menyatakan beliau tidak bersalah dan berhak untuk tidak dibicarakan di mahkamah umum oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.
"Beliau bersedia membantu sebarang siasatan dan percaya kepada proses kehakiman tetapi pada masa yang sama ia perlu melindungi hak dan kebebasannya mengikut undang-undang.
“Anak guam kami menyatakan bahawa beliau pasti akan pulang ke Malaysia secepat mungkin untuk menjawab semua persoalan dan membantu SPRM dalam sebarang siasatan selagi mana tiada unsur ancaman dan penganiayaan terhadapnya.
“Anak guam kami juga ingin menegaskan bahawa beliau tidak akan teragak-agak memulakan tindakan yang perlu untuk melindungi, memelihara dan membela haknya seperti yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya.
Baljit berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh firma guaman Shukor Baljit & Partners) yang mengulas kenyataan media SPRM bertarikh 7 Ogos lalu seperti yang dilaporkan Berita Harian hari ini.
Baljit juga memaklumkan Muhammad Adlan dalam surat kepada SPRM juga menyifatkan tindakan yang diambil SPRM dalam siasatan itu sebagai tidak normal termasuk akaun syarikatnya dibekukan tanpa notis dan sebab, akaunnya juga dibekukan tanpa notis dan sebab dan dia diganggu tanpa henti oleh pegawai SPRM.
Muhammad Adlan juga menafikan sekeras-kerasnya dia tidak boleh dihubungi dan menyatakan sedang berkomunikasi dengan pegawai penyiasat yang bertanggungjawab dalam siasatan.
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Adlan dan seorang lagi individu, Mansoor Saat dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
#Muhammad Adlan Berhan #Muhyiddin Yassin #SPRM
;