Menantu Ahmad Zahid dipanggil SPRM

Afiezy Azaman
Oktober 11, 2018 16:30 MYT
Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff yang juga suami kepada anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah, hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Menantu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan bagi dakwaan penyelewengan dana sebuah yayasan.
Sumber SPRM berkata Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff yang juga suami kepada anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah, hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
"Saiful Nizam adalah individu terbaru yang dipanggil SPRM berhubung siasatan tersebut dan sesi mengambil keterangan beliau selesai jam 1 tengah hari tadi," katanya.
Sebelum ini, SPRM telah mengambil keterangan Nurulhidayah dan adik kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi berhubung kes yang sama, semalam.
Sementara itu, proses merakam keterangan bekas timbalan Perdana Menteri itu dipercayai masih berlangsung setakat pukul 4 petang ini.
Setakat ini, petugas media masih menunggu untuk melaporkan perkembangan mutakhir kes bekas timbalan perdana menteri di bangunan SPRM.
Puluhan wartawan tempatan dan antarabangsa kelihatan berkumpul di perkarangan ibu pejabat SPRM seawal 9 pagi untuk membuat liputan kes itu.
Zahid kembali lagi ke SPRM bagi kali keempat bagi direkod keterangannya mengenai dana Yayasan Akal Budi.
Terdapat dakwaan bahawa RM800,000 dana yayasan kebajikan itu digunakan untuk membayar bil kad kredit pemimpin Umno itu dan isterinya.
Zahid mengakui dana itu digunakan untuk membayar hutang kad kredit tetapi mendakwa ia kesilapan kakitangannya.
#Rasuah #SPRM #UMNO #Zahid Hamidi
;