Menanti sinar baru untuk mata Adib - Jaswan

Wan Syamsul Amly
Oktober 12, 2014 12:51 MYT
JASWAN: Menanti sinar baru untuk mata Adib - Sumber Gambar Jaswan Mulop
Tiada apa yang paling membahagiakan mana-mana ibu bapa untuk melihat anak-anak yang baru berusia tiga atau empat tahun bermain dan mula mengenal abjad A, B, C.
Namun keadaan tidak sama bagi Jaswan Mulop dan isterinya yang terpaksa berkorban segala-galanya untuk anaknya yang dikesan mengidap kanser mata seawal usia tiga tahun.
Itu nasib yang dialami Mohammad Adib Azim Jaswan yang terpaksa dibuang mata kanannya tahun lepas akibat kanser yang sudah memasuki tahap D.
Jaswan merupakan seorang kakitangan kerajaan yang bertugas di Putrajaya memberitahu mata kiri Adib kini pula sudah semakin teruk dan memerlukan rawatan insentif untuk menyelamatkannya daripada dibuang.
"Adib disahkan mengalami kanser mata tahun lepas. Dia terlanggar kerusi dan jatuh di kedai makan ketika bersarapan. Saya rujuk di klinik berhampiran dan diminta ke Hospital Putrajaya untuk rawatan susulan.
"Pada masa itu saya tertanya-tanya apakah yang sebenarnya terjadi. Saya rujuk di hospital dan doktor mengesahkan kanser mata Adib sudah di peringkat bahaya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sni hari ini.
Mata kanan Adib terpaksa dibuang Disember tahun lalu, kini mata kirinya sudah 70 peratus kabur - Foto Jaswan Mulop
Ujarnya, Adib kemudian membuat pemeriksaan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) dan keputusannya mendapati kedua-dua belah matanya sudah berada di tahap agak kritikal untuk kanser mata.
"Doktor meminta saya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Adib diminta menjalani sembilan rawatan kimoterapi.
"Selepas rawatan keenam, saya tidak sanggup melihat keadaan Adib yang menjadi sedikit gelap dan melihat ramai kanak-kanak yang meninggal dunia di situ...," jelasnya.
Mata kanan Adib terpaksa dibuang Disember tahun lalu, kini mata kirinya sudah 70 peratus kabur - Foto Jaswan Mulop
Kata Jaswan lagi, mata Adib kemudian menjadi semakin putih sebelum doktor meminta mata kanannya dibuang pada Disember tahun lepas.
"Sekarang mata kirinya semakin lama semakin kabur. Adib terpaksa menjalani rawatan di HKL setiap tiga minggu sekali. Saya tidak tahu apa nasibnya selepas ini.
"Kini dia menjalani rawatan laser yang 'ditembak' terus ke mata. Saya berdoa Adib sentiasa selamat," ujarnya.
Mata kanan Adib terpaksa dibuang Disember tahun lalu, kini mata kirinya sudah 70 peratus kabur - Foto Jaswan Mulop
Ketika ditanya keadaan Adib sehari-hari kini, Jaswan memberitahu, "dia 'tengok' televisyen tapi tidak tahu apakah dia melihat atau mendengar...dia juga tidak nampak saya apabila duduk di sebelah.
"Jika cuaca malap, dia tidak nampak saya, mata kirinya sudah 70 peratus tidak nampak.
"Kalau dia tengok buku, dia akan tengok serapat mungkin, kalau berjalan kena berpimpin."
Jaswan turut memberitahu, kini dia mencuba beberapa rawatan alternatif namun mengakui memerlukan kos yang sangat tinggi selain mengakui tidak mampu untuk menyara rawatan alternatif Adib.
"Kini Adib menjalani beberapa rawatan alternatif untuk menyelamatkan mata kirinya. Ia memang memerlukan kos tinggi selain usaha saya selain rawatan di HKL.
"Isteri saya juga tidak bekerja," jelasnya.
Mata kanan Adib terpaksa dibuang Disember tahun lalu, kini mata kirinya sudah 70 peratus kabur - Foto Jaswan Mulop
Katanya, orang ramai yang sudi menghulur bantuan boleh terus menyalurkannya pada akaun Maybank miliknya yang bernombor 164016057705.
"Kami reda dengan takdir Adib, kami tidak akan mengalah selagi kami masih hidup.
"Adib akan kami jaga dan lindungi sampai akhir hayat kami," katanya mengakhiri perbualan.
#Adib #alternatif #hayat #HKL #kanser #MATA #Maybank #Putrajaya
;