Menanti 'penghujung nyawa' Highland Towers

Wan Syamsul Amly
September 14, 2018 21:32 MYT
Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang. - Gambar fail
TANGGAL 11 Disember 1993, bangunan Blok 1 Kondominium Highland Towers yang terletak di Taman Hillview, Hulu Klang tumbang pada jam 1.35 petang.
Runtuhnya bangunan 12 tingkat itu dalam masa tidak sampai lima minit menyebabkan 48 penghuni blok berkenaan terkorban manakala hanya tiga mangsa sahaja yang berjaya dibawa keluar daripada runtuhan.
Kondominium itu yang dibina pada tahun 1974 dan mula diduduki penghuninya tujuh tahun kemudian menjadi pilihan orang ramai kerana lokasinya yang terletak di lereng bukit dan dikelilingi kehijauan hutan.
Sejak hari berdarah itu, dua lagi blok 12 tingkat yang tinggal kelihatan suram dan sepi di siang hari dan agak menakutkan pada waktu malam.
Bagaimanapun, kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hari ini yang mahu 'membersihkan' Highland Towers dilihat satu langkah terbaik dalam memberi wajah baru lokasi itu terutama kepada penduduk Ampang.
Tambahan, Zuraida sendiri merupakan Ahli Parlimen di kawasan berkenaan.
Jadi apakah keputusan membina taman rekreasi seperti diumum Zuraida langkah baik atau sebaliknya?
Apa ada di sana?
Berbelas-belas tahun selepas kejadian itu, Highland Towers menyimpan pelbagai kisah dan misteri yang tidak terungkai sehingga hari ini.
Pelbagai versi cerita hantu yang disampaikan dari mulut ke mulut dan ditokok tambah memberi impak kepada 'pemburu' hantu untuk terus mendedah cerita di sebaliknya.
Dikhabarkan juga, sebenarnya lebih ramai lagi mangsa yang terperangkap pada masa itu dan masih tertanam tidak ditemui sehingga kini.
GALERI FOTO: Bayi Highland Towers dan wiranya dipertemukan
Dari permulaan kisah seram dua lelaki berjubah putih, hantu jelmaan wanita menumpang teksi ke Highland Towers dan versi cerita hantu lelaki bernama 'Afiq' yang ditemui di lokasi berkenaan, ia hanya sebahagian kisah menakutkan yang menjadi cerita menarik sejak bertahun bangunan lama itu tidak dirobohkan.
Penyelesaian dan usaha sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka 'Projekt OFO' (Ohsem Flying Objekt) dibuat untuk cuba membuang perasaan takut masyarakat dengan membawa visual sebenar persekitaran blok di Highland Towers seandainya melalui kawasan tersebut pada waktu malam.
Istimewanya kumpulan ini, mereka menggunakan dron atau sejenis pesawat udara tanpa juruterbang untuk meninjau persekitaran bangunan tinggal tersebut.
Ada dua kaedah penggunaan dron iaitu sama ada dikendalikan secara kawalan jauh atau diterbangkan secara bebas berdasarkan rancangan penerbangan yang telah diprogramkan.
Rakaman selama sembilan minit 49 saat di sekitar kawasan Highland Towers yang menggunakan dron -Sumber YouTube Ohsem Flying Objekt OFO
Dianggotai Amri Iqwan Abd Majid, Muhamad Armi Abd Majib, Fauzy Mohd Rahim dan Kamarul Ehram Kamaruddin selaku 'pemandu' dron, Projekt OFO cuba menjawab pelbagai persoalan masyarakat mengenai apa yang terselindung di sebalik misteri Highland Towers.
Apa yang ditemui didedahkan di dalam rakaman dan dimuat naik di laman YouTube mereka.
BACA: 'Dron kami berani cari hantu di Highland Towers' - Projekt OFO
BACA: Selepas 21 tahun, semua pihak masih belum cukup sedar - Dr. Ibrahim Komoo
Siapa tinggal di sana?
Beberapa tahun kebelakangan ini juga, penduduk di kawasan sekitar Highland Towers mengadu dua blok yang ditinggalkan itu menjadi sarang penagih dadah selain penjenayah yang menjadikan tempat itu sebagai stor penyimpanan barangan curi mereka.
Di situ juga, polis pernah menembak mati tiga daripada enam penjenayah yang dalam serbuan yang dilakukan di satu daripada blok kondominium itu.
Tinjauan yang pernah dibuat turut mendapati bangunan di situ tidak mempunyai pagar, menjadikannya lebih mudah diceroboh terutama melalui kawasan hutan dan belukar.
Suara penduduk perumahan berhampiran untuk baki dua bangunan kondominium itu dirobohkan juga sebenarnya sudah lama kedengaran namun belum diambil sebarang tindakan sehingga kini.
Merobohkan dan memberi wajah baru di tapak Highland Towers diyakini penduduk setempat penyelesaian pelbagai masalah di sana.
BACA: 3 suspek samun bersenjata ditembak mati di Highland Towers, 3 lagi lolos
BACA: Selepas 23 tahun, bayi Highland Towers dan wiranya dipertemukan
Tutup cerita Highland Towers
Pengumuman Zuraida untuk pihak berkenaan memulakan kerja-kerja perobohan dua lagi blok kondominium itu sebenarnya memberi cahaya baru di kawasan berkenaan.
Katanya, penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers, yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek yang telah mengenal pasti kesemua pemilik unit kondominium berkenaan juga langkah positif ke arah wajah baru tapak itu.
Pembinaan taman rekreasi itu juga seharusnya menjadi usaha kerajaan melupakan kisah sedih yang menjadi sejarah hitam kepada rakyat negara ini.
Ia juga harus disusuli dengan tidak mengaitkan langsung nama Highland Towers pada taman rekreasi yang bakal dibina kelak.
Biarlah nama Highland Towers itu tersimpan kemas dalam sejarah kondominium yang pernah runtuh dan 'memakan' banyak nyawa.
Jangan diganggu keluarga yang membawa anak-anak untuk berseronok dan beriadah di taman rekreasi itu kelak dengan kenangan dan cerita yang menakutkan.
Jika tidak, ketakutan dan trauma kisah hantu Highland Towers akan tetap berlegar di tapak runtuhan penuh misteri itu walaupun wajahnya sudah bertukar 100 peratus menjadi taman rekreasi.

* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#dron #hantu #Highland Towers #Projekt OFO #taman rekreasi
;