Menangi baucar membeli-belah RM1 juta dalam kempen Licence To Win 2024

Astro Awani
Julai 18, 2024 05:26 MYT
Hani Ezra berkata bagi menyertai kempen tersebut, pembeli dan pengunjung boleh menyertainya secara dalam talian melalui laman web rasmi kempen atau secara manual melalui borang penyertaan peraduan atau kiosk digital.
KUALA LUMPUR: Selepas lima tahun, program ikonik kempen Licence To Win (LTW) membuat kemunculan semula dengan hadiah lebih menarik, berbeza daripada penganjuran tahun-tahun sebelum ini.
Pengurus Besar Perkhidmatan Komersial untuk Lapangan Terbang Malaysia, Hani Ezra Hussin berkata, jika sebelum ini hadiahnya adalah kereta mewah, tahun ini lebih menarik kerana hadiah utama adalah baucar membeli-belah bernilai RM1 juta.
Menurutnya, kempen yang berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Disember 2024 itu juga menawarkan hadiah menarik yang lain, juga dalam bentuk baucar membeli-belah.
“Objektif kami mengadakan peraduan sebegini sebab kami baru sahaja melalui proses 'commercial reset' di mana kedai-kedai di lapangan terbang kami telah banyak diubah suai dan ada jenama baharu yang mungkin pengunjung tidak tahu pun sudah wujud di Malaysia.
“Ia bukan sahaja untuk memberi ganjaran kepada pengunjung tapi juga untuk mengundang pengunjung datang lebih awal dan boleh merasai pengalaman bina semula yang kami sediakan untuk mereka,” katanya.
Menurutnya, baucar tersebut boleh dibelanjakan di lapangan terbang yang mengambil bahagian antaranya Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Selain itu, baucar tersebut juga boleh digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Bagi menyertai kempen tersebut, pembeli dan pengunjung boleh menyertainya secara dalam talian melalui laman web rasmi kempen atau secara manual melalui borang penyertaan peraduan atau kiosk digital.
Cara penyertaan, berbelanja minimum RM350 dalam maksimum dua resit di mana-mana kedai yang mengambil bahagian atau kedai makan di lapangan terbang antarabangsa Malaysia pada hari yang sama untuk melayakkan diri untuk satu penyertaan.
Tambah Hani Ezra, pengunjung boleh menggandakan penyertaan dengan berbelanja minimum RM350 di mana-mana kedai Eraman.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen itu di Kuala Lumpur baru-baru ini yang turut dihadiri artis dan pempengaruh tempatan seperti Alif Satar, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Daiyan Trisha, Nazreem Musa dan Azfar Heri.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi kempen di https://www.malaysiaairports.com.my atau ikuti ‘shopmyairports’ di laman sosial Instagram dan Facebook.
#Licence To Win 2024 #KLIA #Malaysia Airports #Kuala Lumpur #commercial reset