Anak Malaysia pertama dinobat Juara Trader Dunia 2024 Kejohanan Dunia

Astro Awani
November 21, 2024 23:00 MYT
Datuk Dr Nazri Khan (kiri),menerima penghargaan daripada Ketua Penyelidikan Malaysia Book of Record, Siti Norhanim (kanan) sebagai anak Malaysia pertama dinobatkan Juara Trader Dunia 2024. - Gambar DDNK
KUALA LUMPUR: Kejayaan mencipta sejarah sebagai anak Malaysia pertama dinobatkan sebagai Juara Trader Dunia 2024 di ‘World Cup Trading Championship’ menguatkan lagi keazaman Pengurus Dana Bertauliah, Datuk Dr Nazri Khan atau lebih dikenali dengan nama DDNK, untuk terus mempromosikan kepentingan ilmu pelaburan dan kewangan menerusi kelas-kelas saham yang dianjurkan.
Di pentas berprestij itu, DDNK merekod pulangan sebanyak 302.5 peratus suku pertama, 179.6 peratus suku kedua dan 357.2 peratus untuk suku ketiga.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa tetapi juga memberikannya pengiktirafan dari The Malaysia Book of Records dengan gelaran "Most World Cup Trading Championship Won In A Year 2024."
"Ia pertandingan berprestij, semua orang boleh menyertai, ada pelbagai strategi dan kita ada beribu yang menyertai tapi dalam leaderboard ada lebih kurang 200 orang sahaja.
"Ada banyak kategori seperti forex dan future, dan saya terpanggil untuk lihat lebih ramai rakyat Malaysia untuk sertai dan belajar teknik profesional.
"Saya harap kemenangan saya akan beri inspirasi trader lain untuk belajar kemahiran perdagangan peringkat tinggi," katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan sijil Malaysia Book of Records dan pelancaran Menang Saham 2.0, pada Rabu.
Pencapaian itu juga katanya, adalah bukti keberkesanan kerangka Ekonomi Digital selaras dengan Ekonomi Malaysia Madani, yang menyokong pembangunan modal insan yang berintegriti, inovatif, dan kompetitif di peringkat dunia.
Rentetan daripada kejayaan itu, DDNK kembali dengan seminar terbaharunya yang dikenali sebagai Menang Saham 2.0 (MS 2.0).
Berfokuskan kepada pasaran global, Menang Saham 2.0 akan memperkenalkan pelabur dan pedagang kepada saham-saham gergasi dunia, membimbing rakyat Malaysia dari Semenanjung hingga Sabah dan Sarawak dengan ilmu pasaran yang baharu.
"Dunia trading ini luas. Kita ada teknologi yang besar, Malaysia mempunyai salah satu infrastruktur teknologi terbaik dalam infrastruktur teknologi kewangan dunia.
"Rakyat Malaysia sepatut guna sepenuhnya apatah lagi kita tahu di Malaysia casual trader tak ada cukai, jadi kita perlu ambil kesempatan ini.
"Kita juga ada platform digital yang bagus ada banyak broker yang support trading. Bursa Malaysia pun banyak lancarkan program pendidikan yang bagus," katanya lagi.
Tambahnya lagi, Menang Saham 2.0 akan menjadi platform untuk mengubah rakyat Malaysia biasa menjadi trader bertaraf global, dengan sokongan alat inovatif, integrasi AI, dan strategi yang diiktiraf dunia.
Menang Saham 2.0 secara rasmi akan dilancarkan pada 21 Disember depan.
#saham #Bursa Malaysia #mbor #pelaburan
;