'Menang-menang', Pahang tak halang lombong emas, bijih di tanah sendiri - MB

Bernama
Mac 8, 2024 17:10 MYT
Wan Rosdy berkata pemilik tanah perlu tampil mengemukakan permohonan kepada agensi berkaitan di bawah Skim Pelombong Kecil (SPK). - Gambar fail
KUANTAN: Pahang tidak menghalang mana-mana pemilik tanah persendirian yang mempunyai hasil mineral seperti emas dan bijih besi melakukan aktiviti perlombongan tetapi perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri serta memenuhi syarat yang ditetapkan.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pemilik tanah perlu tampil mengemukakan permohonan kepada agensi berkaitan di bawah Skim Pelombong Kecil (SPK) bagi mendapatkan lesen untuk membolehkan hasil tersebut diambil secara sah.
"Sebenarnya sebelum ini ada rakyat menganggap sekiranya ada tanah dan ada bahan mineral di bawah tanah tersebut mereka merasakan itu adalah hak mereka, sedangkan dalam Enakmen Tanah Kerajaan Negeri menyatakan apa jua hasil termasuk di bawah tanah adalah milik kerajaan.
"(Untuk permohonan) Mereka boleh pergi ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG Pahang), kemudian ke Pahang Mining Corporation (PMC) dan bawa dokumen berkaitan nanti kita akan proses dan lihat. Sekiranya benar ada emas contohnya, kita akan bagi kelulusan dengan syarat tertentu," katanya kepada media.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) serta Program PRISMM 2024:'Pahang Revitalizing Initiative For Sustainable Management of Mineral Industry 2024' di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata skim itu yang disifatkan sebagai 'situasi menang-menang' diwujudkan bagi membantu pemilik tanah memperoleh pendapatan hasil aktiviti perlombongan secara sah selain memastikan tidak berlaku ketirisan hasil negeri akibat perlombongan haram.
"Aktiviti melombong haram hendak kami sifarkan, biarpun ia agak mustahil tetapi boleh. (Kerana itu) Kita menghalalkan dengan cara ada kebenaran dan kita mendapat maklum balas sebelum adanya skim (SPK) tersebut, harga dijual jauh lebih rendah kerana ramai peraih dan kadang-kadang apabila tidak sah, mereka beli harga ikut suka.
"Apabila ia dikawal kerajaanh harga ditetapkan dengan lebih sistematik, berpatutan mengikut harga pasaran dan ini akan membantu pemilik tanah tersebut mendapat hasil yang baik," katanya.
Sejak SPK diwujudkan pada 2022 sebanyak 56 lesen telah dikeluarkan kepada pengusaha di Mukim Kechau, Lipis dan hingga kini kerajaan negeri telah memperoleh hasil kutipan keseluruhan kira-kira RM2.383 juta.
Mengenai penubuhan AMMP yang pertama diwujudkan di negeri ini dan Malaysia, beliau menaruh keyakinan akademi tersebut akan menjadi nadi utama bagi pusat peningkatan latihan kemahiran khususnya kepada pekerja dalam industri mineral.
Selain menjadi platform untuk melatih dan mempersijilkan bakal tenaga kerja baharu yang berkemahiran serta sangat diperlukan dalam industri perlombongan dan pengkuarian.
"Saya juga mahu supaya agensi berkaitan seperti PMC, Jabatan Mineral dan Geosains dan PTG Pahang bekerjasama dengan AMMP bagi merancang satu kursus wajib sebagai polisi atau sistem dalam kelulusan dan pembaharuan lesen oleh pemain industri perlombongan dan pengkuarian.
"AMMP ini juga akan berfungsi sepenuhnya sebagai pusat membina kapasiti secara holistik bagi industri mineral di negeri Pahang dan Malaysia amnya," katanya.
-- BERNAMA
#Pahang #lombong emas #kebenaran melombong #Wan Rosdy
;