Memupuk kesedaran hidupan liar sejak kanak-kanak

Prof Madya Dr Marina Mohd Top
Mei 21, 2020 12:49 MYT
Kanak-kanak mempunyai pelbagai jenis hubungan terhadap hidupan liar di dalam kehidupan seharian mereka. - Foto fail BERNAMA
SEMPENA Hari Antarabangsa Kepelbagaian Biologi 2020 pada 22 Mei 2020 dengan tema “Our Solutions are in Nature” memerlukan tindakan manusia untuk merujuk kembali kepada alam semula jadi.
Apakah yang sedang dialami oleh alam kita ketika ini?
Berfokus kepada hidupan liar, isu semasa mengenai hidupan liar tidak pernah lekang diperbincangkan, baik melalui media massa, media sosial mahupun daripada mulut kepada mulut.
Daripada isu pemusnahan habitat, pemburuan haram, perdagangan, sehinggalah isu penyakit bawaan haiwan (zoonosis) termasuklah penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) yang sedang melanda dunia ketika ini.
Ramai tidak menyedari, hidupan liar memainkan peranan tersendiri dalam persekitaran semula jadi.
Pertama, fungsi ekologi hidupan liar ditakrif sebagai peranan ekologi spesies.
Peranan hidupan liar dalam ekosistem adalah berbagai-bagai termasuklah menyokong kepelbagaian tumbuhan dengan cara menyebarkan biji benih dan pendebungaan.
Peranan hebat ini dilakukan misalnya oleh kelawar dan burung.
Hidupan liar juga berperanan menyokong struktur trofik iaitu keseimbangan dalam rantaian makanan dan sebagai “jurutera” alam sekitar contohnya aktiviti menggali tanah dan membina busut sebagai kawasan kediaman oleh landak dapat membantu pengudaraan dan aliran air bawah tanah dengan lebih baik.
Kedua, hidupan liar juga memberi manfaat daripada segi kos dan kepentingan ekonomi serta pengembangan pendidikan alam sekitar menerusi nilai estetik, rekreasi hidupan liar, eko pelancongan dan program pendidikan alam sekitar.
Namun, saban hari dilihat seakan tiada hentinya kegiatan manusia terhadap hidupan liar dan habitatnya.
Permintaan terhadap hidupan liar sebagai sumber makanan eksotik dan haiwan peliharaan masih berterusan walaupun banyak bukti dan maklumat telah jelas melaporkan mengenai risiko jangkitan virus atau penyakit bawaan hidupan liar ini boleh berlaku kepada manusia.
Disebabkan peningkatan kadar kepupusan, kematian dan penurunan populasi hidupan liar, langkah dan usaha pengenalan kepada kesedaran dan pengetahuan mengenai peranan dan kepentingan hidupan liar adalah sangat penting.
Usaha ini memerlukan perubahan terhadap tingkah laku yang harus bermula pada usia muda.
Kanak-kanak mempunyai pelbagai jenis hubungan terhadap hidupan liar di dalam kehidupan seharian mereka.
Mereka belajar tentang hidupan liar dan alam semulajadi dalam suasana formal dan tidak formal.
Satu kajian di Eropah melaporkan kanak-kanak pra sekolah (5 hingga 6 tahun) memperoleh maklumat mengenai dunia di sekeliling mereka dari media dan orang lain.
Kajian lain di New York melaporkan pada usia 7 hingga 11 tahun, kanak-kanak mula belajar bekerjasama dan mengambil bahagian dengan rakan atau orang dewasa.
Kajian di California pula melaporkan pada usia 10 hingga 12 tahun, pelajar secara aktif mencari lebih banyak maklumat mengenai haiwan.
Antara usia 11 hingga 12 tahun pelajar mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk memproses maklumat dengan lebih berkesan.
Di Malaysia, pendidikan yang melibatkan hidupan liar telah diperkenalkan kepada pelajar pada usia 10 tahun dalam sukatan mata pelajaran Sains, Unit 3: Proses Hidup Haiwan.
Seterusnya, pada usia 11 tahun (Tahun 5), pengetahuan pelajar ditingkatkan dalam Unit 3: Proses Hidup Haiwan dan Unit 4: Proses Hidup Tumbuhan.
Jelas, sekolah merupakan sumber utama bagi pelajar untuk mendapatkan maklumat mengenai pengetahuan asas hidupan liar dan kesedaran alam sekitar.
Kajian mengenai tahap pengetahuan dan kesedaran terhadap hidupan liar di kalangan pelajar tahun 5 telah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) di di Bintulu, Sarawak dan Petaling Perdana, Selangor.
Seramai 638 responden daripada 12 buah sekolah rendah di Bintulu dan 391 responden dari sembilan buah sekolah di Petaling Perdana telah terlibat.
Daripada hasil tinjauan, seramai 76 peratus pelajar di Bintulu dan 83 peratus di Petaling Perdana mempunyai pengetahuan mengenai definisi hidupan liar.
Pelajar di Bintulu memperoleh pengetahuan hidupan liar kebanyakannya dari punca televisyen (79 peratus) dan guru (73 peratus).
Manakala di Petaling Perdana, guru (74 peratus) dan sekolah (71 peratus) memainkan peranan sebagai sumber maklumat utama tentang hidupan liar.
Internet (69 peratus) dan televisyen (68 peratus) direkodkan sebagai sumber maklumat mengenai hidupan liar dalam bentuk pentas digital.
Umumnya guru dan sekolah serta televisyen dan internet adalah sumber maklumat penting dalam penyebaran dan pengembangan pengetahuan hidupan liar kepada kanak-kanak.
Jika dilihat dari sudut kesedaran terhadap hidupan liar, 86 peratus pelajar di Bintulu dan 96 peratus di Petaling Perdana bersetuju hidupan liar perlu dilindungi.
Namun, masih terdapat segelintir pelajar memilih tidak bersetuju hidupan liar dilindungi.
Justeru itu, lebih banyak usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan tahap kesedaran kanak-kanak mengenai pendidikan hidupan liar harus dipertimbangkan.
Sebagai contoh, program alam sekitar, lawatan ke zoo dan juga penyampaian maklumat interaktif melalui media seperti dokumentari video boleh dijalankan untuk menarik minat generasi muda terhadap hidupan liar.
Hidupan liar adalah khazanah alam yang sangat bernilai untuk sesebuah negara.
Justeru itu, pengetahuan dan pendedahan yang berterusan mengenai hidupan liar terutamanya di Malaysia harus dipupuk sejak kecil sehingga sehingga di peringkat dewasa.

* Artikel ini ditulis sempena Hari Antarabangsa Kepelbagaian Biologi 2020 pada 22 Mei, 2020.
** Prof Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah merupakan pakar ekologi dan pengurusan hidupan liar di Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM).
*** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sidang pengarang Astro AWANI.
#alam sekitar #ekonomi #haiwan #hidupan liar #Kanak-kanak #kepelbagaian biologi #khazanah alam #media sosial #pendidikan
;