Mempermudah PdPR, 305 tablet diedar di tiga sekolah di Betong

Astro Awani
Februari 5, 2021 14:55 MYT
Pemberian tablet ini merupakan sumbangan ADUN Layar, Gerald Rentap Jabu dan Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar (JPPL), orang perseorangan dan badan korporat. FOTO: JPPL
BETONG: Sejumlah 305 unit tablet diedarkan kepada pelajar tingkatan lima di tiga buah sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar, Betong melibatkan SMK Datuk Patinggi Kedit, SMK Ulu Layar dan SMK St Augustine.
Sumbangan itu bagi memperluaskan akses dan menambah baik kelangsungan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di kawasan tersebut selain mengurangkan beban kewangan ibu bapa terlibat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu, sumbangan tablet ini juga bagi membantu merapatkan jurang digital dan kualiti bahan pembelajaran antara murid di bandar, luar bandar dan pedalaman.
“Saya berharap agar semua murid tingkatan lima yang menerima pemberian ini akan dapat menggunakannya sebaik-baiknya untuk menjayakan PdPR sepanjang tempoh ini.
“Matlamat kita juga adalah untuk membantu ibu bapa dengan meringankan beban kewangan dan berharap agar guru-guru terlibat dapat menghasilkan bahan pembelajaran untuk kegunaan murid-murid tingkatan lima ini,” katanya.
Sementara itu, bagi Penolong Kanan Pentadbiran SMK St Augustine, Aleksey Aman, pemberian ini disifatkan sebagai satu inisiatif terbaik memastikan pelajar terlibat tidak tercicir sepanjang PdPR berlangsung.
Malah ujarnya sekiranya pemberian tablet ini digunakan sebaiknya, ia turut membantu mempermudahkan proses PdPR khususnya bagi pelajar yang sebelum ini terpaksa berkongsi peranti dengan adik beradik lain dalam menjayakan proses ini.
“Pemberian tablet ini diharap dapat membantu pembelajaran mereka khasnya dalam menghadapi rintangan penggunaan peranti teknologi yang terbatas.
“Kita percaya dengan sumbangan ini, ia akan dapat membantu meringankan sedikit bebanan keluarga khasnya untuk membantu pembelajaran dan pengajaran anak-anak murid kita,” katanya.
Pemberian tablet ini merupakan sumbangan Gerald Rentap Jabu dan Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar (JPPL), orang perseorangan dan badan korporat.
#PDPR di Layar Betong #memudahkan PdPR #PdPR di Sarawak #gerald rentap jabu #JPPL Layar #305 tablet diedarkan #luar bandar Sarawak
;