Memperkukuh sektor perkapalan demi kelestarian bumi

Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen, Dr Nurul Haqimin Mohd Salleh
September 28, 2020 19:12 MYT
Penerapan Revolusi Industri 4.0 secara inklusif haruslah diberi perhatian yang sewajarnya setara dengan perkembangan industri perkapalan. - fotoBERNAMA
PADA 24 September setiap tahun, Hari Maritim Sedunia disambut oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan negara anggotanya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga keselamatan maritim demi kesejahteraan sejagat.
"Sustainable shipping for a sustainable planet” dipilih menjadi tema sambutan Hari Maritim Sedunia pada tahun ini bersempena dengan hubungan rapat di antara sektor perkapalan dan kehidupan harian manusia.
IMO adalah sebuah agensi khusus yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertanggungjawab ke atas perihal berkaitan keselamatan maritim.
IMO juga menggariskan dasar dan undang-undang antarabangsa yang berhubung kait dengan pencemaran laut yang dihasilkan oleh aktiviti perkapalan.
Keanggotaan IMO merangkumi 174 negara di dunia termasuk Malaysia.
Malaysia merupakan Negara anggota IMO semenjak tahun 1971 dan berjaya menduduki kerusi Majlis IMO bagi kategori C untuk Penggal 2020-2021.
Sebagai Negara anggota, Malaysia perlu mematuhi peraturan-peraturan perkapalan mengikut piawaian IMO bagi memastikan keselamatan perkapalan laut dan melindungi alam persekitaran maritim.
Lebih 80 peratus perdagangan dunia dikendalikan oleh industri perkapalan antarabangsa.
Justeru, industri perkapalan adalah salah sektor berkepentingan utama dalam mencapai keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan bumi yang lestari.
Untuk menghadapi cabaran persekitaran maritim yang semakin meningkat, IMO komited dalam merealisasikan Agenda Pembangunan Lestari 2030.
Agenda yang diperkenalkan oleh PBB ini terdiri daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bertujuan mentransformasi dunia dengan mengakhiri kemiskinan, melindungi planet dan memastikan bahawa semua orang menikmati keamanan dan menjelang 2030.
Terdapat enam SDG yang dapat dikaitkan dengan pengukuhan sektor perkapalan untuk kelestarian planet iaitu SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 7 (Tenaga Berpatutan dan Bersih) SDG 8 (Pekerjaan Yang Sesuai dan Pembangunan Ekonomi), SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), SDG 13 (Tindakan Terhadap Iklim) dan SDG 14 (Kehidupan dalam Air).
KEPENTINGAN PENGANGKUTAN LAUT
Kepentingan pengangkutan melalui laut sebagai hubungan perdagangan antara negara-negara tidak dapat dinafikan lagi.
Namun, aktiviti perkapalan ini telah menyumbang kepada pencemaran seperti tumpahan minyak, buangan sisa plastik dan juga pelepasan karbon.
Pencemaran memberikan kesan yang cukup signifikan kerana ia bukan sahaja mengancam hidupan laut dan persekitaran marin, malah turut menjejaskan kehidupan manusia.
SDG 14 menggariskan panduan tentang pemeliharaan dan pemuliharaan laut secara berterusan bertujuan untuk pembangunan lestari.
Pada amnya, industri perkapalan adalah salah satu cabang utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi Negara.
SDG 8 merangkumi perkembangan ekonomi mampan dan menyeluruh serta pekerjaan layak kepada semua dengan memanfaatkan sumber dan peluang sedia ada.
Hal ini selaras dengan peranan dan sumbangan industri perkapalan kepada kesejahteraan masyarakat melalui peluang pekerjaan yang ditawarkan.
Bersempena dengan Hari Maritim Sedunia ini juga, PPB juga menghargai profesionalisma dan pengorbanan lebih dari 2 juta pelaut dalam perjuangan melawan pandemik COVID-19.
Penghargaan diberikan atas perkhidmatan mereka yang bertindak sebagai barisan hadapan dalam menguruskan penghantaran bekalan perubatan, makanan dan bahan rutin yang kritikal kepada pemulihan COVID-19.
Penerapan Revolusi Industri 4.0 secara inklusif haruslah diberi perhatian yang sewajarnya setara dengan perkembangan industri perkapalan.
Justeru, penyelesaian inovatif dalam sektor perkapalan memainkan peranan penting dalam pencapaian SDG 9 iaitu mempromosikan industri yang menyeluruh dan mampan dan merangsang inovasi terutamanya dalam reka bentuk dan pembinaan kapal, serta pengoperasian.
Ini sekaligus mencerminkan kemampuan Malaysia untuk mencapai sasaran sebagai salah sebuah negara maritim terbaik dunia.

* Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen dan Ts. Dr. Nurul Haqimin Mohd Salleh adalah pensyarah kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#hari maritim sedunia #Pertubuhan Maritim Antarabangsa #undang-undang #sektor perkapalan #pencemaran laut #negara maritim #inovasi sektor maritim
;