Memperkukuh daya tahan negara penawar terbaik hadapi krisis masa depan - Najib

Bernama
Mei 23, 2014 20:58 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev (dua, kanan) ketika menghadiri Forum Ekonomi Astana 2014 Ke-7 - Foto Bernama
Memperkukuhkan ketahanan negara dengan dasar-dasar domestik yang sesuai adalah penawar yang terbaik dalam mengatasi krisis pada masa akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, berkata ini bererti perlu ada penampan yang menambah pendapatan kerajaan dan meningkatkan penjimatan serta beransur-ansur mengurangkan defisit.
"Kita memerlukan perubahan untuk memastikan institusi kita menerima pakai tadbir urus yang baik," kata beliau dalam sesi soal jawab pada sesi plenari Persidangan Anti Krisis Dunia Kedua, Forum Ekonomi Astana di sini, hari ini.
Berucap di hadapan khalayak yang terdiri daripada eksekutif, pakar dan pemimpin terkemuka dunia, beliau berkata Krisis Kewangan Asia pada 1997 boleh dijadikan iktibar.
Najib sependapat dengan Presiden Republik Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev, bahawa sistem kewangan dunia sekarang sudah lapuk dan memerlukan pembaharuan menyeluruh.
"Tetapi untuk ini berlaku, mungkin memerlukan masa dan kita perlu melakukannya sekarang untuk memastikan kita mempunyai dasar-dasar domestik yang sesuai, yang akan memperkukuh ketahanan negara," tegas beliau.
"Kita memerlukan perubahan untuk memastikan institusi kita menerima pakai tadbir urus yang baik, dan tadbir urus yang baik mesti bermula di dalam negara terlebih dahulu, kemudian kita hubungkan dengan negara-negara lain di peringkat serantau dan dunia yang lebih luas," kata Najib.
Penyepaduan ekonomi, kata Najib, adalah penting bagi perubahan, dan pasaran-pasaran perlu disepadukan kerana perdagangan dunia akan menjana pertumbuhan dan mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baharu.
"Kerjasama yang lebih erat merupakan kunci kepada kejayaan pada masa akan datang," kata beliau.
#Astana #Kazakhstan #Najib Razak #Nursultan Nazarbayev
;