Memperketat SOP pengembara luar negara bukan langkah tepat - Tiong
Bernama
Januari 7, 2023 13:43 MYT
Januari 7, 2023 13:43 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyifatkan tindakan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bukanlah langkah tepat serta berkesan pada ketika ini bagi kemasukan pengembara dari luar negara termasuk China.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, MOTAC ingin menegaskan bahawa soal keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia adalah menjadi keutamaan, namun ia juga perlu diseimbangkan dengan faktor ekonomi demi kepentingan rakyat dan negara.
"Setakat ini kita masih kekal dengan status quo dan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa. Jika ada perubahan situasi dan keperluan mendesak, sudah tentu kita akan memperketatkan SOP secara khusus," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bersandarkan kepada fakta, Amerika Syarikat mencatatkan 99 juta jangkitan dan 1.08 juta kematian akibat COVID-19 manakala China 31,000 kematian dengan 10.16 juta kes positif direkodkan.
"Sebab itu jika kita lihat, negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja tidak memperketatkan kemasukan pengembara dari China. Pada masa sama timbul persoalan mengenai kedatangan pengembara dari Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Perancis yang turut merekodkan jumlah jangkitan tinggi.
"Jika mengambil kira penduduk China seramai 1.4 bilion, kadar kematian akibat wabak itu ialah 0.002 peratus. Kes jangkitan COVID-19 di Malaysia pula 5.02 juta dengan 0.7 peratus kematian direkodkan," katanya.
Beliau berkata, Malaysia telah menerima kemasukan pengembara dari seluruh dunia lebih awal sebelum ini walaupun mereka datang dari negara yang memiliki rekod jangkitan COVID-19 yang tinggi.
"Kita bersyukur kerana situasi penularan COVID-19 di Malaysia boleh dianggap terkawal. Malah China juga telah melepasi fasa lonjakan jangkitan COVID-19, maka itu mengetatkan SOP sedia ada bukanlah langkah tepat serta berkesan pada ketika ini," katanya.
Beliau berkata, angka RM30 bilion yang dinyatakan sebelum ini adalah bagi menunjukkan betapa besarnya nilai ekonomi bagi sektor pelancongan yang secara khusus membabitkan negara China.
"Ini juga seiring dengan ramalan peningkatan pengembara China ke Malaysia daripada tiga juta pada 2019 kepada kira-kira enam juta tahun ini," katanya.
Tiong berkata, soal diskriminasi perlu dipandang serius dan beliau juga membandingkan negara-negara selain China, yang juga berupaya menjadi negara berisiko tinggi penularan wabak di negara ini.
Beliau berkata, apa yang dibangkitkan sebelum ini bertujuan memastikan negara tidak mendiskriminasi pengembara dari mana-mana negara sekalipun termasuk China.
"Ini penting demi memelihara hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara luar, lebih-lebih lagi rakan perdagangan Malaysia," katanya. - BERNAMA