Memperkasa pendidik Malaysia melalui gerakan literasi media

Astro Awani
Mac 17, 2021 12:03 MYT
Para pengasas saling bekerjasama dengan 11 orang pengamal media profesional di bawah gerakan ME4A.
KUALA LUMPUR: Sekumpulan pendidik Malaysia sedang menjalani latihan rapi bagi mempersiapkan diri dengan kemahiran literasi media khusus untuk membentuk reformasi landskap media di Malaysia.
Latihan ini merupakan salah satu inisiatif dalam gerakan literasi media kebangsaan yang dinamakan sebagai Media Education For All (ME4A).
Seramai seramai 15 orang pendidik telah dipilih untuk menjadi Pengasas ME4A.
Sejak dua bulan lalu, mereka telah menjalani latihan yang merangkumi pelbagai topik media literasi termasuklah peranan literasi media dalam masyarakat demokrasi, berat sebelah atau ‘bias’, kecelaruan maklumat, cara-cara menentu sah maklumat dan kaedah mengaplikasi literasi media dalam pembelajaran.
“Setakat ini, belum ada lagi sebuah kurikulum atau panduan kebangsaan untuk menerapkan literasi media dalam pendidikan di Malaysia selain tiada dana khusus untuk menyokong usaha pembangunan profesionalisme guru dalam hal ini.
Latihan yang komprehensif dan praktikal yang diberi oleh para pendidik dari Arus Academy sememangnya sebuah usaha akar umbi yang penting untuk memulakan inisiatif literasi media di peringkat kebangsaan,” kata Dr Aini Marina Ma’arof, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan di Universiti Putra Malaysia.
Hazwan Hamdan, guru Bahasa Inggeris dari SABK Maahad Ehyak Dinniah Islamiah di Perak pula berkata: “Selama ini kita hanya bergantung kepada orang lain untuk membongkar isu sebenar atau penipuan yang terpapar dalam media.
"Tetapi setelah menyertai siri bengkel ini, sekarang saya sendiri mampu menyelidik lebih lanjut berita yang saya baca.
"Semudah membuat carian imej terbalik untuk mengetahui asal-usul gambar seterusnya memahami unsur berat sebelah dalam media, saya berharap guru-guru lain turut dapat dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran ini demi mewujudkan suasana media yang selamat untuk semua.”
Para pengasas saling bekerjasama dengan 11 orang pengamal media profesional di bawah gerakan ME4A untuk membangunkan modul literasi media yang pertama untuk pendidik, serta disesuaikan mengikut konteks dan keperluan di Malaysia.
“Apa yang menyebabkan saya tertarik untuk melibatkan diri dalam pembangunan kurikulum ini adalah ia dapat membantu pendidik dan pelajar membincangkan isu penting mengenai bagaimana mereka menggunakan dan menghasilkan media.
"Setiap individu perlu sedar bahawa literasi media adalah hak setiap orang, dan bukan kelebihan khusus bagi pihak tertentu sahaja,” jelas Jessica Ch’ng, guru di SJKC Kuen Cheng 1, yang kini sedang menyediakan modul menentu sah maklumat bersama-sama rakan pengasas yang lain.
Mentor ME4A, Darshini Kandasamy, yang juga seorang pemenang anugerah kewartawanan penyiasatan dan pengasas bersama Malaysia Information Literacy Education, turut bersetuju dengan pendapat tersebut.
“Kurikulum ini amat penting kerana ia membolehkan para pendidik kita membantu belia dari pelbagai kumpulan usia untuk memproses maklumat, mencerap sendiri maklumat dan mengenal pasti yang mana benar ataupun palsu serta menjadi warga negara yang lebih bertanggungjawab dalam dunia nyata mahupun digital,” ujar Darshini.
#literasi media #ME4A #Media Education for All #reformasi
;