Memorandum bantahan "The Louvre" akan dihantar kepada MB Selangor

Norsiah Mohd Ramli
November 13, 2015 20:22 MYT
Demonstrasi yang bermula kira-kira jam 2.15 petang menyaksikan kumpulan itu melaungkan "Batal the Louvre" berulang kali. -Astro AWANI/NORSIAH MOHD RAMLI
Memorandum petisyen bantahan projek pangsapuri mewah "The Louvre" akan dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali minggu depan.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKA Maahad Hamidiah, Jazlan Ahmad berkata mereka akan membuat permohonan bertemu Azmin bagi menjelaskan fakta serta bukti terhadap kepincangan projek berkenaan.
"Kami berhasrat pada hari ini, akan mengemukakan petisyen dan permohonan ini kepada untuk menemui Menteri Besar Selangor memandangkan perkara ini sudah dibincangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini," katanya pada sidang media demonstrasi bantahan projek "The Louvre", di sini, hari ini.
"Mudah-mudahan dengan surat yang kami hantar akan nanti dapat dibentangkan bersama fakta-fakta dan bukti-bukti yang kami ada," jelasnya.
Sementara itu, peguam yang mewakil bantahan tersebut, Adnan Seman berkata, antara kandungan memorandum berkaitan dengan projek terbabit melanggar garis panduan pembinaan.
"Kita membangkitkan isu-isu pelanggaran garis-garis panduan yang tidak diikuti. Ini dari segi teknikal," katanya pada satu sidang media.
"Dari segi sentimen kita membangkitkan juga tentang kebimbangan kerana ada ura-ura mengatakan SMKA Maahad Hamidiah ini akan dipindahkan.
"Dengan adanya projek pembangunan 36 tingkat di hadapan sekolah ini, ia akan mengubah landskap pembangunan kawasan ini," jelasnya.
Beliau juga berkata, apa jua pembangunan yang akan didirikan, pihak Majlis Bandaraya perlu memenuhi dan perlu mengikut peraturan-peraturan serta peruntukan-peruntukan yang ditetapkan undang-undang negara sebelum membenarkan sesuatu pembangunan dilaksanakan.
Beliau juga berkata, petisyen yang juga disediakan di dalam talian tidak akan ditutup dan akan diteruskan.
Memorandum tersebut ditandatangani para pendidik, ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru, alumni SMKA Maahad Hamidiah, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), dan penduduk sekitar Kajang.
Memorandum petisyen bantahan tersebut setakat hari ini sudah mengumpul lebih 40, 000 tandatangan.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 200 penunjuk perasaan terdiri daripada ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni pelajar SMKA Maahad Hamidiah dan penduduk sekitar mengadakan demonstrasi menuntut pembatalan projek pangsapuri mewah "The Louvre" di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah.
#Maahad Hamidiah #PIBG #Sekolah Menengah Kebangsaan Agama #SMKA #The Louvre
;