Memo kepada ROS: Polis ambil keterangan tiga Pemuda PH

Bernama
Mac 12, 2018 00:28 MYT
ACP Rosly Hassan mengesahkan perkara itu. - Gambar fail
Polis pada Isnin memanggil tiga anggota Pemuda Pakatan Harapan untuk mengambil keterangan berkenaan penyerahan memorandum tiga minggu lepas kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung kelulusan pendaftaran Pakatan Harapan.
Mereka ialah Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pemuda DAP Wong Kah Woh dan Ketua Pemuda Amanah Sani Hamzan.
Syed Saddiq bagaimanapun tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan peribadi.
Wong berkata ketiga-tiga Ketua Pemuda telah menerima panggilan daripada pihak polis dan dikehendaki untuk hadir memberi keterangan berkenaan memorandum itu pada 21 Feb lalu.
"Kami sedia memberi kerjasama kepada polis. Tetapi, kami ingin bertanyakan kepada polis sama ada kami merupakan saksi atau orang yang kena siasat di dalam penyerahan memorandum itu.
"Kami juga ingin tahu siapakah yang telah membuat laporan polis terhadap kami, sama ada pihak ROS, polis atau pihak ketiga.
"Kami berhak untuk tahu kerana sekiranya satu penyerahan dibuat secara aman dan damai, dan diterima oleh ROS tanpa apa-apa bantahan atau peristiwa tidak diingini, mengapa pihak polis perlu memanggil kami hari ini untuk mengambil keterangan," katanya kepada pemberita di luar perkarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya sebelum memberi keterangan.
Sani berkata pihak ROS harus bertindak secara adil dan tidak mempunyai alasan untuk melengah-lengahkan permohonan kelulusan Pakatan Harapan pada masa ini, dan hanya PPBM sahaja yang disiasat oleh jabatan itu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
-- BERNAMA
#Jabatan Pendaftaran Pertubuhan #Pakatan Harapan #pemuda #pendaftaran #polis #Putrajaya #ros
;