AS Memilih: Trump atau Biden, hubungan luar dengan Washington perlu dipertingkat - Penganalisis

Astro Awani
November 4, 2020 09:00 MYT
ROY ANTHONY: Sekiranya Trump duduk di White House, adakah dasar beliau lebih konsorvatif akan diteruskan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia mahu kepentingan hubungan luar dengan Washington dipertingkatkan tidak kira Presiden Amerika Syarikat yang baharu adalah dari Demokrat atau Republikan.
Pensyarah Kanan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya, Dr Roy Anthony Rogers berkata Demokrat mempunyai dasar luar yang lebih terbuka, bersifat konstruktif dan mempunyai rangkaian luas seperti yang disaksikan semasa pentadbiran bekas Presiden AS, Barack Obama.
Sementara Republikan pula, katanya, lebih konservatif dan menjadi kepentingan kepada negara dalam isu hubungan kedua negara pada masa akan datang.
"Sekiranya Trump duduk di White House, adakah dasar beliau lebih konsorvatif akan diteruskan, atau Biden menjadi presiden, adakah beliau sama macam Obama dahulu yang bersifat mahu mendapatkan kerjasama dengan negara lain?" soalnya semasa sidang Skype pada Rabu.
BACA: Pemilihan 2020 AS: Memahami Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat
Sebelum ini, beberapa negeri di AS melaporkan masalah teknikal apabila jutaan rakyat mula membuang undi dan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada pilihan raya AS 2020.
Dalam pada itu kata Dr Roy Anthony, penggunaan media sosial oleh kedua-dua calon bukan penentu kepada keputusan pilihan raya berkenaan.
"Sememangnya sosial media digunakan oleh dua pihak untuk mendapatkan sokongan.
"Bagaimanapun, ini bukan penentu muktamad kerana ada yang akan swing kepada salah satu calon pada tempoh terakhir nanti
"Kita dapat saksikan pemilihan 2020 ini merupakan satu persaingan melibatkan media massa secara giatnya dan kedua-dua pihak termasuk Demokrat menggunakan media massa sehebatnya untuk meningkatkan populariti calonnya," katanya.
Jelasnya, berdasarkan kepada undi elektoral, antara negeri yang boleh menjadi penentu ialah Texas dan Florida kerana demografiknya yang besar berbanding negeri lain.
Pengundi di AS akan menentukan sama ada Trump atau Biden memperoleh jumlah undi paling banyak dalam pemilihan yang sedang berlangsung.
Namun, jumlah undi paling banyak atau undi popular tidak menentukan seseorang calon memenangi jawatan presiden.
Sebaliknya, calon jawatan itu akan ditentukan oleh seberapa banyak undi elektoral yang akan dimenanginya.
BACA: Trump atau Biden? Fahami perbezaan perjalanan Pilihan raya Presiden AS
#White House #Amerika Syarikat #presiden as #Donald Trump #Joe Biden #AS memilih #pilihan raya presiden #hubungan luar #Republikan #Demokrat
;