Memey si kambing jadi tarikan di majlis hidang Yee Sang
Astro Awani
Februari 19, 2015 18:40 MYT
Februari 19, 2015 18:40 MYT
Seekor kambing hari ini menjadi tarikan pengunjung Taman Kehidupan Liar Langkawi (THLL) apabila haiwan itu turut sertai acara menghidang sajian tradisional kaum Tionghua, Yee Sang.
Memey yang berusia empat tahun merupakan kambing jinak tempatan yang dibeli dan dipelihara oleh THLL sejak kecil lagi.
Pengurus Perhubungan Awam Dan Pendidikan TTLL Nur Hamzani Hamzah berkata acara julung kali ini merupakan antara aktiviti untuk memeriahkan Sambutan Perayaan Tahun Kambing pada tahun ini.
“Apa yang kita buat pada program hari ini adalah aktiviti tradisional masyarakat Cina iaitu acara makan Yee Sang. Disamping itu juga kita ketengahkan haiwan kambing kerana kambing ini merupakan tahun untuk masyarakat Cina pada tahun 2015.
“Kita buat ini untuk memeriahkan lagi aktiviti sambutan Tahun Baru Cina di THLL,” tambah Hamzani.
THLL memiliki lebih 50 spesis haiwan dari dalam dan luar negara menjadi tarikan pelancong yang berkunjung ke Langkawi.
Antara spesis-spesis eksotik yang terdapat di THLL adalah seperti rakun, iguana, burung kakak tua dan juga burung bangau jenis crowned crane daripada Uganda.
“Sebagai tarikan, kami turut menyajikan beberapa acara lain setiap hari bagi membolehkan pengunjung pelbagai peringkat usia dapat berinteraksi dengan haiwan peliharaan.
“Antaranya pengunjung boleh memberi ikan koi makanan dengan menggunakan botol susu bayi,” kata Hamzani.
Taman keluasan keseluruhan kira-kira lima hektar dibuka setiap hari bermula jam 8.10 pagi sehingga 6 petang.
THLL juga telah mendapat pengiktirafan Trip Advisor selama dua tahun berturut-turut iaitu Excellent Award pada tahun 2013 dan Dantraveller’s Choice Award pada tahun 2014.