Memerangi rasuah dari 'dalam'
Teoh El Sen
November 2, 2013 09:13 MYT
November 2, 2013 09:13 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti beberapa kementerian dan agensi kerajaan 'berisiko tinggi' untuk diletakkan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dalam usaha badan itu memerangi rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata sejak 46 tahun lalu, pihaknya banyak memberi tumpuan kepada memerangi rasuah dari luar.
"Berdasarkan kajian kami di negara-negara dengan kedudukan tertinggi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI ), kita mendapati bahawa mereka mempunyai kedua-dua sistem dalaman dan luaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Program CeIO International Akademi Pencegahan Rasuah, di sini, Jumaat.
Abu Kassim berkata bahawa negara-negara yang dikaji jelas mempunyai langkah-langkah pencegahan, kesedaran, komunikasi dan pendidikan yang lebih baik.
"Sebab itu kami mencadangkan kepada kerajaan bahawa kita perlu mempunyai satu sistem pemantauan kedua-duanya dari luar dan dalam," katanya.
Akademi latihan SPRM telah melatih 150 CeIO, yang terdiri daripada pegawai SPRM dan pegawai kerajaan yang lain. Mereka merancang untuk meningkatkan jumlah itu dalam masa terdekat .
"Ini adalah sebahagian daripada Tadbir Urus dan Integriti (G&I). Mereka (kementerian yang dikenal pasti) bukanlah yang paling korup tetapi mereka lebih terdedah," katanya.
Beliau menjelaskan antara kementerian yang terdedah dengan amalan rasuah adalah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.
Pada masa ini, sudah ada beberapa pegawai diletakkan di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kastam, Imigresen, Felda, Petronas dan Prasarana .
Beliau berkata tiga tugas utama CeIO adalah untuk mengesan penyalahgunaan dan rasuah , mencegah kejadian itu dan untuk meningkatkan kesedaran.
"Mereka bukan bertindak sebagai pegawai perhubungan tetapi mereka akan menjalankan analisis risiko aktiviti kementerian.
"Jika terdapat unsur-unsur jenayah, mereka akan memberitahu kita (SPRM) apa yang berlaku. Sebelum ini, jabatan-jabatan kerajaan tidak memahami dan banyak insiden yang tidak dilaporkan kepada SPRM,"
CeIO juga akan menasihatkan ketua-ketua jabatan atau pihak pengurusan kanan mengenai perkara itu.
Abu Kassim juga berkata bahawa pegawai-pegawai akan menggunapakai Akta Pemberi Maklumat .
"Ia akan menggalakkan laporan, apabila orang melihat entiti bebas mereka akan lebih yakin untuk memberi maklumat. "
Program CeIO merupakan program kendalian SPRM yang menumpukan kepada soal integiri dan pematuhan kepada prinsip-prinsip moral dan etika yang bernilai tinggi.
Para peserta tahun ini terdiri daripada pegawai-pegawai anti -rasuah dari Amerika Syarikat, Jerman, Singapura yang telah berkongsi pengalaman mereka mengenai pengurusan integriti di negara-negara masing-masing.
Program CelO bertujuan untuk melatih pegawai-pegawai kerajaan dan sektor swasta untuk memerangi rasuah, penyelewengan dana dan penyalahgunaan kuasa.
Dalam ucapannya semasa membentangkan Bajet 2014 , Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Unit Pengurusan Integriti akan diletakkan di setiap Kementerian kerajaan.
Ini adalah sebahagian daripada rancangan yang lebih besar bagi sebuah badan yang akan bertindak sebagai pemerhati, yang diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low.