Memerang naikkan Jalur Gemilang di Taman Hidupan Liar Langkawi

Bernama
Ogos 31, 2016 16:52 MYT
Pelajar Noor Darliah Sikandar berkata memerang dipilih untuk menceriakan sambutan memandangkan ia haiwan yang pintar dan mudah mengikuti arahan.
Gelagat lima ekor memerang yang mengambil giliran menaikkan Jalur Gemilang mencuit hati pelancong yang mengunjungi Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) hari ini.
Memerang jenis Oriental Small-Clawed Otter itu mengambil masa kira-kira tiga minit untuk menaikkan bendera di tiang setinggi 1.5 meter yang menjadi antara acara yang dianjurkan taman itu sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Pengurus Taman dan Perhubungan Awam THLL, Nur Hamzani Hamzah berkata penglibatan mamalia air itu dibuat sebagai cara untuk menyuntik kelainan bagi tahun ini berbanding acara sambutan yang pernah dibuat sebelum ini.
"Sebenarnya aktiviti ini merupakan cetusan idea pelajar-pelajar universiti yang menjalani latihan praktikal mereka di sini dan bersama-sama petugas lain, mereka mengambil masa kira-kira seminggu untuk melatih memerang-memerang ini," katanya.
Menurutnya acara sambutan THLL tahun ini turut melibatkan pelepasan 59 ekor burung merpati pelbagai warna yang telah disempurnakan oleh pengurus besar taman itu Teoh Cheng Kung.
Sementara itu seorang pelajar berkenaan Noor Darliah Sikandar, 23, berkata memerang telah dipilih untuk menceriakan sambutan memandangkan ia merupakan haiwan yang pintar dan mudah mengikuti arahan.
"Memerang-memerang ini tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk dilatih dan dengan menggunakan umpan ikan-ikan kecil yang diikat di tahap-tahap tertentu pada tali bendera, mereka mampu menaikkannya tanpa masalah," katanya yang mengikuti pengajian zoologi di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Seramai 10 orang pelajar sedang menjalankan latihan praktikal di THLL.
#Hari Merdeka #Jalur Gemilang #memerang #Taman Hidupan Liar Langkawi
;