Memegang anjing jangan dijadikan budaya baharu - KP Jakim
Bernama
Julai 5, 2017 17:13 MYT
Julai 5, 2017 17:13 MYT
Umat Islam di nagara ini diminta tidak menjadikan budaya baharu dengan memegang anjing dan mereka perlu bertaubat dengan perbuatan mereka itu.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata perbuatan seumpama itu akan menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam kerana ia bercanggah dengan pegangan mazhab Syafie serta adat masyarakat Islam tempatan.
"Menurut mazhab Syafie, umat Islam dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri mereka tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam.
"Perbuatan sebegini dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baharu yang boleh membawa kepada perbuatan menghina agama Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas tindakan seorang wanita Islam yang dikenali sebagai Nurhanizah Abdul Rahman yang memuat naik gambar videonya di Facebook pada Sabtu lepas dengan menceritakan berkaitan anjing peliharaannya yang dinamakan Bubu.
Othman berkata pada dasarnya Islam tidak memandang keji kepada binatang termasuk anjing sebagai satu makhluk Allah, apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh anjing tanpa sebab adalah sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam.
Bagaimanapun katanya dalam mazhab Syafie, umat Islam tidak dibenarkan untuk menjadikan haiwan itu sebagai binatang peliharaan.
Malah, Islam mewajibkan semua umatnya memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat tinggal agar ia tidak menjejaskan amal ibadah seharian mereka.
Katanya, walaupun Islam meletakkan kaedah sertu atau samak apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai mughallazah atu najis berat, namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja.
"Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya," katanya.
Othman berkata bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu itu secara berhikmah demi kebaikan bersama, individu tersebut dinasihatkan agar merujuk kepada Jakim berkaitan hukum memelihara anjing.
-- BERNAMA