Membuang, dibuang dan terbuang: Inilah wanita kemarau belaian ihsan
Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 5, 2017 16:10 MYT
November 5, 2017 16:10 MYT
"Akak terpaksa membuang perasaan itu demi mengecapi sedikit rasa bahagia sebagai manusia normal.
"Akak redha, tapi akan ada masa-masanya akak tertekan," ungkap seorang wanita di awal usia 40-an kepada penulis dalam satu temu bual yang diatur di Jalan Tunku Abdul Rahman baru-baru ini.
Menurutnya, dia terpaksa membuang rasa rindu, sayang dan kasih kepada ibu bapanya.
"Kerana akak hanya mengenali mereka melalui sijil kelahiran akak.
"Sebab itu akak membuang semua itu kerana akak tak tahu apa erti perkataan itu," sambungnya sayu.
Mariam (bukan nama sebenar) mula dibesarkan di sebuah rumah kebajikan di Cheras, Kuala Lumpur sekitar 30 tahun lalu.
Apabila mencapai usia 18 tahun, timbul rasa berdikari dalam dirinya dan beliau membuat keputusan untuk keluar dari rumah tersebut dengan harapan untuk menempa jalan kehidupan baharu.
"Akak dibuang oleh ibu bapa hinggakan akak lupa pada usia berapa akak mula menginap di rumah kebajikan itu.
"Hasil didikan daripada warga rumah kebajikan sahaja yang jadi pedoman untuk akak mencari kehidupan di luar.
"Jauh di sudut hati akak sering bertanya, kenapa akak ditinggalkan begitu sahaja," katanya.
Mariam memulakan jalan hidup baharunya pada lewat 90-an dengan bekerja sebagai pembantu kedai kerana keputusan peperiksaan peringkat menengah tidak begitu memberangsangkan.
"Macam-macam kedai makan akak dah kerja masa tu.
"Duit gaji akak, buat bayar sewa bilik.
"Ada rasa menyesal juga sebab tak sambung belajar tapi iyalah, siapa nak nasihatkan akak," keluhnya.
'Cinta' yang gagal
Ketika berusia 26 tahun, Mariam bertemu dengan kekasih hatinya dan ia tidak berakhir dengan baik.
"Akak muda dan mudah tertipu masa itu.. akak ikut sahaja apa kata lelaki itu.
"Akak tinggalkan kerja akak demi nak bersama dia, akak rasa bahagia sangat sebab akak sangat perlukan kasih sayang.
"Dia sangat baik dengan akak, tetapi apabila masa berlalu, dia mula dingin dan meninggalkan akak," imbasnya kecewa.
Menurut Mariam, sejak detik itu dia seakan-akan hilang arah dan mula mendiami kaki-kaki lima ibu kota kerana tiada pekerjaan untuk membayar sewa bilik.
"Itulah nilai sebuah kehidupan dik, akak terbuang kerana kasih sayang.
"Apa salah akak pada dunia ni? Akak jauh dari semua perkara apatah lagi agama," keluhnya dalam pengakuan yang jujur namun pahit.
Pada tahun 2009, Mariam bertemu dengan insan senasibnya dan menjalinkan hubungan kasih sayang yang sangat ditagihnya sehingga saat ini.
"Akak memang tiada pedoman daripada sesiapa untuk menasihatkan akak dengan siapa perlu berkawan dan bagaimana untuk ada sebuah keluarga.
"Akhirnya akak terlanjur dan sekarang hasil hubungan itu akak ada dua budak lelaki ini.
"Akak tidak berkahwin pun dengan dia dan budak-budak ini berbinkan nama-nama Allah sahaja," jelasnya sambil menunjukkan kepada dua orang anak lelakinya berusia 8 tahun dan 5 tahun.
Penghuni jalanan
Kini pada setiap malam, Mariam menjadi sebahagian daripada penghuni jalanan di Chow Kit.
Mariam sedar bahawa dia tidak mampu bekerja, dan kerana itu dia mengambil bantuan dan mengemis simpati orang awam di jalanan.
"Bukan akak tidak mahu bekerja, tetapi akak tidak mahu 'teman lelaki' akak menjaga anak-anak, sebab dia sering menagih.
"Akak sayang anak-anak akak, biarlah dia nakal macam mana sekalipun, biarlah akak bersama dengan mereka setiap masa.
"Betul, akak telah membuang perasaan sayang kerana dibuang ibu bapa satu masa dahulu, tapi akak tidak mahu mereka turut merasa terbuang hanya kerana kehidupan akak sekarang," tuturnya, diiringi genangan air mata.
"Cukuplah apa yang akak rasa selama ini, tapi akak bertekad untuk sentiasa ada bersama mereka.
"Akak mahu mereka berjaya, punya pendidikan, punya kerjaya dan punya rumah untuk mereka akan datang.
"Kalau mereka buang akak pun, akak tidak kisah. Sebab itulah pengorbanan akak untuk mereka.
"Akak dipandang hina di jalanan ini, dik. Tidak hanya ibu bapa akak, malah akak juga berasakan masyarakat umum turut membuang akak kerana kehidupan akak sekarang ini.
"Kalau adik? Adik sanggup duduk di jalanan macam akak?" tanyanya kepada penulis.
Tidak punya sesiapa
Bagi Mariam, perasaan malu atau tidak selesa ditolak ke tepi. Dia sanggup duduk di situ kerana dia perlu memberi makan kepada anak-anaknya.
"Akak hanya perempuan yang tidak punya sesiapa.
"Pada siapa harus akak meminta tolong. Betul, ada badan-badan yang bagi bantuan, tapi di sini, kos kehidupan tinggi.
"Orang lain mungkin akan kembali ke kampung halaman atau meminta bantuan daripada ahli keluarga, tapi bukan akak," ungkapnya sambil mengesat air mata yang dari tadi mengalir membasahi pipinya.
Anak Mariam yang berusia 5 tahun menghampiri kami dan mendakap ibunya sambil cuba menyapu air mata yang gugur daripada pipi seorang ibu yang melahirkannya.
"Mak kenapa menangis, adik dan abang kan ada dengan mak.
"Mak lapar yer," tanya anak kecil itu lagi kepada Mariam.
"Apa akak boleh buat lagi, dik?" Mariam sekali lagi melontarkan soalan maha dalam kepada penulis.
Temu bual bersama wanita teguh hati itu dihentikan kerana penulis juga bingung apa harus dilakukan bagi membantu Mariam.
Benar, makanan dan pakaian bagai jualan murah berlambakan di jalanan setiap malam untuk golongan gelandangan. Namun, adakah peluang untuk meningkatkan taraf hidup dan mengubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik, sebanyak taburan ihsan di jalanan itu?