Membina kerjaya di Petronas: Dari luar pesisir Kerteh ke persada dunia

Bernama
September 21, 2024 10:15 MYT
Wan Khairul Anuar merupakan ntara individu yang terlibat dalam pengoperasian pertama Pelantar Duyong, kira-kira 156 kilometer dari Kerteh, pada Disember 1984. - Gambar Bernama
KUALA TERENGGANU: Masih segar dalam ingatan Wan Khairul Anuar Mohd Nor ketika beliau dan rakan-rakan bersorak dan bertepuk tangan menyaksikan gas pertama yang dikeluarkan dari Pelantar Duyong tiba di Terminal Gas Pesisir Pantai (OGT) di Kerteh, Kemaman, kira-kira 40 tahun lepas.
Peristiwa bersejarah tersebut tidak akan dilupakan Wan Khairul Anuar yang ketika itu bertugas sebagai Penyelia penerimaan gas dari Pelantar Duyong, kerana ia mencerminkan penat lelah warga kerja Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Anak jati Kemaman berusia 66 tahun itu menjadi antara individu yang terlibat dalam pengoperasian pertama Pelantar Duyong, kira-kira 156 kilometer dari Kerteh, pada Disember 1984.
Pengeluaran gas dari pelantar pertama milik Petronas itu bukan sahaja pencapaian penting dalam penggunaan sumber tenaga negara, malah menetapkan asas kukuh bagi Petronas untuk berkembang menjadi sebuah syarikat tenaga global yang dinamik.
Mengimbau perjalanan kerjayanya bersama syarikat minyak dan gas terkemuka tersebut, siswazah Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi MARA ini berkata, beliau tidak akan melupakan tarikh 3 Mei 1982, ketika beliau melapor diri sebagai Jurutera Pelatih Projek Petronas di Kuala Lumpur.
"Sebagai jurutera pelatih projek yang mengendalikan operasi loji, saya dikehendaki menghadiri kelas teori selama setahun yang dikendalikan oleh pakar-pakar dari luar negara kerana ketika itu, tidak ramai anak tempatan yang mempunyai kemahiran dalam bidang minyak dan gas.
"Selepas itu, saya dan rakan-rakan menjalani latihan amali di terminal-terminal minyak lain selama enam bulan sebelum saya kembali ke Kerteh untuk membuat persiapan menyambut pengeluaran gas pertama dari Pelantar Duyong," katanya dalam temu bual bersama Bernama.
Wan Khairul Anuar yang dilantik sebagai Pengurus Fasiliti Luar Pesisir pada tahun 1991 berkata, sepanjang berkhidmat dengan Petronas, pelbagai latihan dan kursus diberikan kepadanya serta kakitangan lain bagi menambah ilmu dan pengalaman, sekali gus membantu perkembangan kerjaya mereka.
Puncak kerjayanya bersama syarikat itu adalah apabila beliau dilantik sebagai Pengurus Kanan Operasi yang mengendalikan operasi Petronas di Sudan pada 2010.
"Ketika bertugas di Sudan, saya pula yang berkongsi kepakaran dengan anak-anak tempatan di sana," katanya yang bersara pada 2013.
Menurut Wan Khairul Anuar, peluang menimba ilmu yang diberikan oleh Petronas berjaya melahirkan ramai pekerja mahir bertaraf antarabangsa, sekali gus menguntungkan negara dari segi pembangunan modal insan.
Pengurus Kanan Operasi Petronas Carigali Iraq Holding B.V., M. Lazim Deraman, 47, pula berterima kasih kepada Petronas kerana bukan sahaja memberikannya peluang pekerjaan, tetapi juga menyediakan biasiswa untuk beliau melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam bidang Kejuruteraan Kimia.
Dilahirkan dalam keluarga petani di Marang, M Lazim berkata, tanpa Petronas, tidak mungkin beliau berpeluang menyambung pelajaran ke luar negara pada 1995.
"Sebaik kembali ke tanah air, saya menyertai Petronas Carigali Sdn Bhd sebagai Jurutera Pelatih di Jabatan Operasi Duyong di Kerteh pada 2003 di bawah Skim Latihan Siswazah Petronas (PLSP)," katanya.
Setahun kemudian, beliau ditugaskan sebagai Penyelia Pengeluaran OGT di Kerteh sebelum dilantik sebagai Jurutera Operasi Duyong pada 2005, Pengurus di Pelantar Tiong (2016) dan Pengurus Kanan Operasi Dulang (2018).
M. Lazim berkata, pengalaman di Pelantar Minyak Dulang merupakan antara cabaran terbesar baginya kerana perlu menguruskan pengeluaran sambil menjalankan kerja-kerja menaik taraf sebahagian besar fasiliti pelantar yang telah beroperasi selama 30 tahun.
Beliau, yang baru sahaja ditugaskan ke Iraq pada April lepas berkata, walaupun kini menghadapi cabaran perbezaan budaya dan cara kerja masyarakat Timur Tengah, ia tetap merupakan pengalaman yang sangat berharga.
"Pengalaman yang saya peroleh semasa bekerja di pelantar-pelantar di tanah air membantu saya 'terbang' ke peringkat antarabangsa. Tambahan pula, Petronas tidak hanya menyediakan latihan dan kursus dalam bidang kerja, tetapi juga melatih petugasnya dalam kemahiran insaniah seperti kepimpinan dan meningkatkan keyakinan diri.
"Apa yang saya pelajari sepanjang berkhidmat dengan Petronas adalah setiap cabaran yang dihadapi merupakan peluang untuk kita belajar agar lebih cemerlang pada masa hadapan," katanya.
Petronas, yang telah mencapai pelbagai kejayaan korporat dan kini tersenarai sebagai syarikat Fortune Global 500, menyambut ulang tahun ke-50 tahun ini. - BERNAMA
#Petronas #Skim Latihan Siswazah Petronas #fasiliti pelantar #kerjaya di Petronas
;