Membantu, bukan menuding jari, cara terbaik tangani COVID-19 - Raja Zarith Sofiah
Khairunnisa Kasnoon
Jun 4, 2021 19:43 MYT
Jun 4, 2021 19:43 MYT
KUALA LUMPUR: Menuding jari dan mencari salah antara satu sama lain tidak akan membantu mengurangkan kes COVID-19 yang melanda negara ketika ini.
Sebaliknya titah DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, semua pihak yang berkemampuan perlu membantu hospital atau mereka yang ditimpa kesusahan dalam apa jua bentuk yang boleh.
"Jangan lupa bahawa ada di antara kita yang perlu bertanggungjawab juga atas keadaan sekarang ini. Contohnya, ramai yang telah berkumpul ketika Hari Raya Aidilfitri sedangkan telah diberi amaran yang cukup jelas untuk tidak berbuat demikian.
"Pihak polis pula yang dipersalahkan kerana tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaiknya - sedangkan ada keluarga yang sanggup menyembunyikan kasut-kasut raya mereka di dalam rumah untuk mengaburi pihak berkuasa.," titah baginda dalam muat naik terbaharu di Facebook.
Baginda mahu rakyat menerima hakikat peningkatan mendadak kes COVID-19 mempunyai asasnya dalam keengganan lapisan masyarakat mematuhi SOP.
Tegas baginda, mencari kesalahan semata-mata tidak akan mengurangkan bilangan pesakit di dalam ICU (Unit Kawalan Rapi), atau mengurangkan tekanan yang dihadapi keluarga yang kurang berkemampuan.
"Sama ada kita memilih untuk menyalahkan kerajaan ataupun diri sendiri, mencari kesalahan semata-mata tidak akan mengurangkan bilangan pesakit di dalam ICU, atau mengurangkan tekanan yang dihadapi keluarga yang terpaksa bersempit dalam flat satu bilik, mahupun mereka yang telah kehilangan pendapatan dan buntu bagaimana mencari nafkah untuk keluarga," titah baginda lagi.
Baginda juga memohon supaya rakyat bermuhasabah dan melihat kemampuan sendiri.
Pada masa sama, baginda mencadangkan supaya semua bersatu dalam membantu mereka yang hidup dalam kesusahan.
"Sememangnya, ‘trend’ kebebasan bersuara kini cukup mudah disalahgunakan dengan mengkritik atau mengejek orang lain di sebalik papan kekunci dan identiti yang tersembunyi.
"Keluarga saya akan meneruskan bantuan yang telah dilaksanakan sekian lama kepada golongan susah, kehilangan pekerjaan, atau bergaji kecil yang kadang-kala bersamaan dengan nilai sekali makan di restoran Jepun mewah.
"Mungkin bantuan kami kecil di mata sesetengah orang, tetapi kami tetap cuba membuat yang terbaik," kata baginda.
Raja Zarith Sofiah juga menyeru supaya semua pihak membantu antara satu sama lain, terutamanya petugas barisan hadapan.
"Pihak hospital merupakan entiti yang paling terkesan. Lihatlah saja kontena-kontena yang terpaksa diubahsuai menjadi bilik mayat serta cabaran lain yang kita lihat sepanjang tahun lalu.
"Salahkah kita tunjukkan, walaupun sedikit, penghargaan atas segala pengorbanan mereka dalam merawat ataupun menyelamatkan pesakit dari ambang kematian?" soal baginda.
Tambah baginda, pandemik ini telah menampakkan jurang perbezaan antara mereka yang hidup senang, dengan mereka yang kurang bernasib baik.
Malah ia juga menampakkan jurang antara mereka yang sanggup dan sudi membantu secara sukarela dengan mereka yang selesa di belakang papan kekunci masing-masing, mencari kesalahan yang tidak berkesudahan.
"Kita mesti sedar bahawa kita semua mempunyai peranan untuk dimainkan. Pokok pangkalnya, pepatah lama “bersatu teguh, bercerai roboh” tetap terpakai dalam waktu yang cukup menakutkan dan tidak menentu kini.
Apa jua sekalipun, saya pasti rakyat Malaysia mempunyai kekuatan dan ketabahan untuk melalui dugaan ini bersama," titahnya lagi.
#Facebook
#SOP
#Aidilfitri
#COVID-19
#petugas barisan hadapan
#Hari Raya Aidilfitri
#rakyat Malaysia
#DYMM Permaisuri Johor
#Raja Zarith Sofiah