Membaca lapis kedua ketaksuban kepada SBP
Dr Azlinariah Abdullah
Januari 6, 2019 23:30 MYT
Januari 6, 2019 23:30 MYT
PADA tahun 2019 ini, saya memilih untuk membedah buku yang diterbitkan pada 2000. Kerana apa? Kerana apa yang ditulis pada tahun 2000 oleh Nick Duffell dengan judul bukunya itu, The Making of Them: The British Attitude to Children and the Boarding School System masih relevan dalam konteks sebahagian besar masyarakat kita yang taksub dengan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
Untuk rekod, bermula 2019, di bawah reformasi pendidikan negara, pemilihan untuk penempatan ke SBP seluruh negara adalah berdasarkan merit, iaitu memberi keutamaan kepada pelajar di mana ibu bapa mereka adalah daripada golongan B40.
Matematiknya, golongan B40 dalam isi rumah berpendapatan bawah RM4,000. Tiada apa-apa masalah dengan itu. Jadi apa masalahnya? Sudah pasti tentang taksub kepada SBP.
Saya cari semula buku Duffell ini apabila isu mengenai SBP dan kuota pelajar yang kemudiannya berlanjutan kepada satu lapis lain iaitu kekecewaan ramai golongan, baik anak atau ibu bapa kerana "bukan jadi pilihan".
Dalam hal ini, kita ibu bapa jujur sahaja. Sejak hari pertama tangan kecil anak kita pimpin memasuki kawasan sekolah untuk diserahkan kepada guru yang lembut sabarnya mengajar tulis baca, tinggi menggunung harapan kita kepada guru biasa itu supaya anak kita menjadi dewasa. Dewasa itu dalam konteks, dewasa yang terbaik.
Kita tidak usah dolak-dalik. Terbaik itu subjektif sifatnya. Pendidikan yang terbaik untuk anak-anak ialah melihat mereka cemerlang. Ya, sama seperti terbaik, cemerlang itu juga subjektif sifatnya.
Nah, apabila ada ibu bapa, yang marah-marah dan anak-anak yang kecewa kerana gagal ke SBP atas faktor hanya ia boleh beri pendidikan terbaik serta membentuk kecemerlangan, perhalusi semula.
Kepada yang taksub dengan SBP, ada macam-macam sebab mereka mewajarkan pendirian mereka, dan itu tidak salah.
"Ada pengalaman di SBP dan tekad menghantar anak saya ke SBP adalah kerana SBP tawarkan yang terbaik. Di sekolah harian dan belajar di rumah sudah semestinya ada banyak gangguan. Sekejap dengan gajet, selepas itu pula dipanggil rakan, kemudian tidur keletihan dan sudahnya, masa berlalu dengan tidak berbuat apa-apa apabila habis waktu belajar pada sebelah petang, kira-kira pukul dua,'' kata seorang ibu yang kecewa anaknya gagal ditempatkan di SBP, walaupun keputusan UPSR anaknya cemerlang.
Ibu yang gaji bulanannya sahaja sudah melebihi golongan T20 itu kemudiannya menambah, "kalau ke SBP, semuanya teratur, terancang, sudah ada jadual menunggu untuk diikuti. Dan kunci di sini ialah disiplin. Inilah norma yang saya mahu anak saya cedok jika berjaya ke SBP".
Benar, disiplin adalah satu sikap yang baik, malah dituntut, jika mahu jadi yang terbaik dan cemerlang. Tetapi disiplin itu boleh sahaja dibentuk di mana-mana - di sekolah harian juga boleh jadi landasan membentuk sahsiah diri menerusi disiplin. Bukankah mahu ke sekolah, tidak kira SBP atau sekolah harian, perlu bangun pagi? Apakah tidak perlu makan jika bukan SBP? Semua ini, tidak lain tidak bukan, disiplin.
Pengalaman peribadi sendiri, saya ada anak yang belajar di sekolah harian. Beliau baik-baik sahaja menimba ilmu di sana. Disiplinnya juga tidak mengecewakan. Selebihnya kami ada lebihan waktu masa berkualiti, bertanya dan bertukar pandangan apa dipelajari di sebelah pagi, makan bersama di meja makan di malam hari.
Inilah sisi lain yang saya dapat daripada buku The Making of Them: The British Attitude to Children and the Boarding School System karya Duffell.
Benar, saya mahu senada dengan seorang blogger, Hasrizal dalam tulisannya, "Sekolah Berasrama dan Sindrom Boarding School" yang dikongsikan beliau pada 3 Januari lepas. Bahawa Hasrizal mengakui ada baik dan buruknya SBP ini. Beliau mengaitkan bagaimana kecenderungan perkembangan remaja yang kurang berminat dengan komunikasi dua hala dengan ibu bapa sebaliknya lebih fokus kepada rakan sebaya.
"Kehidupan bersama keluarga akan menjadi satu gangguan kehendak jiwa remaja dan asrama boleh menjadi jalan keluarnya,'' tulis Hasrizal.
Tetapi ketakutan satu lagi tentang SBP ialah mengenai sindromnya.
SBP ada sindromnya sendiri. Duffell dalam bukunya, menzahirkan apa yang disebut oleh Dr Joy Schaverien sebagai "Boarding School Syndrome". Dr Joy menulis mengenainya dalam British Journal of Pschotherapy.
Dan, buku tulisan Duffell mendedahkan bagaimana kecenderungan warga Britain yang memilih untuk menghantar anak masing-masing jauh daripada mereka tanpa mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya. Antara lain, Duffell, warga Britain dan juga penulis buku Wounded Leaders: British Elitism and the Entitlement Illusion (2014) dan Trauma, Abandonment and Privilege: A guide to therapeutic work with boarding school survivors (2016), melihat bagaimana sebenarnya menghantar anak-anak ke asrama sejak awal usia itu adalah amalan Britain dan mereka tiada idea apa kesannya kepada pembentukan sahsiah anak-anak itu.
Dalam konteks tempatan, berada di SBP, salah satu daripada kesan yang perlu dihadapi ialah pertembungan elitis dan yang bukan daripada kumpulan itu. Golongan kelas tinggi menganggapnya sebagai pembinaan sikap tetapi tidak untuk kumpulan yang lain. Ini kerana bagi golongan bukan kelas tinggi (sila baca elitis), barangkali menghantar anak ke SBP, semuanya ditanggung, maka selamat poket mereka, setidak-tidaknya terlepas menanggung beri makan kepada seorang anak, yang mungkin kosnya agak tinggi pada era ini.
Itu satu bab. Kesan psikologi anak-anak ke asrama juga perlu diambil kira kerana ia memang luar biasa. Belum masuk cerita pasal perkembangan dan pengalaman mengenai seksualiti semasa tinggal di asrama.
Pada hemat saya, senarionya mungkin lebih buruk kalau asrama itu kesemuanya khusus dipenuhi lelaki atau perempuan. Kepada siapa anak-anak ini kongsi cerita, pengalaman mengenai kecenderungan seksualiti, kalau bukan kepada rakan sebaya? Adakah boleh kita periksa siapa rakan anak-anak kita sepanjang 5 tahun di asrama (kalau diambil kira penghantaran sejak Tingkatan Satu)? Ini bukan amaran bahaya, tetapi satu pesanan untuk ditangkap oleh ibu bapa yang bimbang kesan jangka masa panjang untuk anak-anak mereka.
Sebab itu, Duffell, seorang yang pernah mengalami hidup di asrama di Eropah dan UK, mengasaskan bantuan berkisar hal-hal tentang sekolah asrama penuh - Boarding School Survivors, Therapeutic help for those affected by boarding, lama sesudah buku The Making of Them: The British Attitude to Children and the Boarding School System diterbitkan.
Nah, perbincangan dalam buku ini bukan satu penemuan tetapi penerangan kepada kesan situasi yang berlaku sekarang dalam masyarakat kita mengenai ketaksuban kepada SBP.
Bagi yang masih belum berganjak dengan pendirian taksub terhadap SBP dan kekal berpandangan SBP ejen kecemerlangan untuk anak-anak, silakan, tiada masalah, tetapi setidaknya-tidaknya boleh menelaah buku "best-selling" Duffell ini.
Dalam Islam sekali pun, tiada sokongan untuk anak-anak dipisahkan daripada keluarga untuk ke asrama pada usia sebegitu muda - kalau 13 tahun dianggap begitu- hal ini adalah kerana mereka terpaksa menanggung proses membina kelestarian personaliti strategik (strategic survival personality) yang akan menjadi kesan kepada mereka sepanjang usia nanti.
Pesan saya, untuk buku Duffell ini, jangan baca judulnya sahaja, baca bukunya dulu.
Daripada sekian banyak buku yang terbit di dunia ini, pasti ada sebuah yang mengubah hidup seseorang — membacanya seperti menceduk semangat baru; rasa bagai dilahirkan semula. Buku apa? Ya, terserah.
The Making of Them: The British Attitude to Children and the Boarding School System boleh dijadikan panduan azam baharu, sempena hari pendaftaran pelajar di SBP bermula Isnin dan Selasa ini.
Judul buku : The Making of Them: The British Attitude to Children and the Boarding School System
Penulis: Nick Duffell
Penerbit : Lone Arrow Press Ltd. (2000)
* Dr Azlinariah Abdullah juga merupakan Editor Astro AWANI
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#B40
#buku mengenai sbp
#disiplin
#dr azlinariah abdullah
#kesan psikologi
#Kolumnis AWANI
#komunikasi ibu bapa
#kuota sbp
#murid cemerlang
#nilai sekolah asrama
#remaja
#SBP
#seksualiti
#T20
#taksub