Memang tanggungjawab orang Melayu boikot peniaga Cina yang degil - Syed Ali
Astro Awani
Februari 3, 2015 18:53 MYT
Februari 3, 2015 18:53 MYT
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dalam nada tegas menyokong penuh kenyataan Menteri Pertanian Dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Ahmad Sabri Yaakob dalam Facebooknya pada Ahad yang mengajak orang Melayu memboikot peniaga Cina degil dan tidak mahu menurunkan harga barangan walaupun harga minyak sudah diumumkan turun.
Syed Ali turut sependapat dengan Ismail Sabri agar orang Melayu menggunakan kuasa beli mereka memboikot dan jangan menyokong restoran-restoran yang diragui status halalnya yang berlambak di negara ini.
"Saya percaya hanya tindakan memboikot ini sahaja mampu memberikan kesedaran kepada peniaga dan pembekal yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan semasa harga minyak turun.
"Apa yang dinyatakan oleh Ismail Sabri bukan bersifat perkauman malah mahu memberi kesedaran kepada pembekal, pemborong dan orang tengah agar jangan sesuka hati menaikkan harga barangan dan jangan cuba menekan rakyat dalam keadaan harga minyak menunjukkan trend penurunan," katanya dalam catatan terbarunya di http://umnobahagiancheras.blogspot.com.
Dalam pada itu Syed Ali turut menyelar mana-mana pihak yang mendakwa kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri yang mengajak rakyat memboikot peniaga menaikkan harga barangan dan restoran yang diragui status halalnya sebagai bersifat perkauman.
"Ini dilakukan bagi memberi kesedaran kepada golongan minoriti ini agar jangan sesekali memperkecilkan kuasa beli orang Melayu.
"Baik pembekal, pemborong, orang tengah dan peniaga kena faham bahawa selama ini orang Melayulah yang banyak menyokong perniagaan mereka.
"Kalau majoriti orang Melayu memboikot produk mereka sudah tentu ada syarikat atau peniaga ini akan gulung tikar. UMNO Bahagian Cheras tidak akan teragak-agak untuk mengadakan kempen secara besar-besaran kalau peniaga dan pembekal terus berdegil menaikkan harga barangan," katanya.
Menurutnya lagi, selepas kerajaan mengumumkan tentang penurunan harga minyak maka pihak peniaga dan pemborong kena mengambil tanggungjawab bersama meringankan bebanan rakyat.
"Jangan bertindak terus menaikkan harga barangan walau rakyat sudah menunjukkan bantahan dalam Facebook dan media sosial.
"Kalau peniaga dan pemborong terus berdegil menaikkan harga barangan saya boleh menyifatkan mereka sengaja sabotaj sekaligus menanamkan rasa kebencian rakyat kepada kerajaan. Selama ini sudah lama orang Melayu berdiam diri dengan tindakan sesetengah peniaga tidak bertanggungjawab ini.
"UMNO Bahagian Cheras juga banyak menerima laporan dari orang ramai tentang sikap sesetengah peniaga yang mula membayangkan kenaikan harga barangan selepas berkuatkuasanya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April nanti. Perbuatan ini jelas tidak bertanggungjawab dan bermotif jahat," ujarnya.
Pada masa yang sama, Syed Ali turut mengingatkan Ketua Pemuda MCA agar jangan menyalahkan Ismail Sabri tentang pemboikotan peniaga yang menaikkan harga barangan dan status tanda halalnya kerana ini dilakukan atas kepentingan rakyat semua kaum di negara ini.
"Ketua Pemuda MCA jangan bertindak seperti pemimpin DAP dalam mempertahankan sikap peniaga dan pembekal yang sesuka hati menaikkan harga barangan.
"Ketua Pemuda MCA kena mengambil sikap seperti kerajaan dalam memastikan rakyat semua kaum di negara ini diberikan pembelaan yang sewajarnya.
“Dalam perkara ini sepatutnya Ketua Pemuda MCA mengambil,tanggungjawab bersama-sama mengajak peniaga dan pembekal tidak menyusahkan pengguna. Namun mereka bertindak sebaliknya menyokong peniaga dan pembekal cekik darah pengguna,” tegas Syed Ali.
Syed Ali turut memberi amaran kepada DAP agar jangan meniupkan sentimen perkauman di sebalik gesaan pemboikotan ini. PIhaknya tidak menolak kemungkinan DAP akan mengambil kesempatan dari isu pemboikotan ini untuk meraih perhatian dan sokongan rakyat.
“Tapi saya percaya kali ini rakyat tidak akan berdiam diri dan akan menjadi pengguna yang bijak memboikot mana-mana peniaga dan pembekal yang cuba mengambil keuntungan atas angin ini,” katanya.
Tegasnya lagi, ketegasan yang dilakukan bukan untuk kepentingan orang Melayu semata-mata tetapi merangkumi kepentingan rakyat semua kaum di negara ini.
"Kalau peniaga dan pembekal menaikkan harga barangan bukan sahaja natijahnya dirasa oleh orang Melayu ini termasuk pengguna Cina, India, Kadazan, Iban, Orang Asli dan lain-lain kaum di negara ini.
"Saya ingin menegaskan di sini isu pemboikotan ini tidak ada kena mengena dengan isu perkauman sebaliknya mengajak peniaga bertolak ansur dengan pengguna," jelasnya.
Katanya lagi, peniaga kini dilihat perlu bertolak ansur dengan pengguna yang selama ini menyokong perniagaan mereka.
"Jangan sebelah pihak sahaja yang mahu untung dan sebelah pihak lagi iaitu pengguna mengalami kerugian sikap peniaga dan pembekal mahu mengejar untung semata-mata," katanya.
Harga baru minyak pada 1 Februari RON95, RM1.70 seliter, RON97 RM 2 dan diesel RM 1.70.
Bagi mengekang kenaikan harga barangan ini, Syed Ali menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan agar membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana peniaga, pemborong dan pembekal yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.
"Jangan beri muka kepada peniaga degil yang menyusahkan rakyat," katanya.