Memang berlaku satu, dua kes liwat, namun kenapa dirangkum semua? - Pemimpin GISB

Umavathi Ramayah
September 14, 2024 14:53 MYT
Nasiruddin menyifatkan kejadian liwat hanya melibatkan satu atau dua kes sahaja. - Foto GISB Holdings Sdn Bhd
KUALA LUMPUR: Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB) mengakui terdapat beberapa kes liwat berlaku membabitkan individu dalam organisasi berkenaan.

Ringkasan AI
  • Pengakuan Kes Liwat: GISB Holdings mengakui terdapat beberapa kes liwat yang melibatkan individu dalam organisasi mereka, tetapi menegaskan bahawa hanya satu atau dua kes sahaja yang berlaku.
  • Tindakan Pihak Berkuasa: Pihak berkuasa telah menjalankan operasi besar-besaran yang menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja dari rumah amal yang dikendalikan oleh GISB, dengan 13 kanak-kanak disyaki diliwat.
  • Reaksi GISB: Datuk Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISB, menyatakan bahawa tindakan pihak berkuasa berlaku terlalu pantas tanpa perundingan, dan GISB akan melantik peguam untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pihak yang menuduh mereka.

Namun Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nasiruddin Mohd Ali menyifatkan kejadian itu cuma satu atau dua kes sahaja.
Perkara itu didedahkan beliau menerusi rakaman video berdurasi 17 minit 21 saat yang dimuat naik di akaun media sosialnya, pagi Sabtu.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat itu adalah bertujuan untuk meredakan keadaan agar tidak lagi berpanjangan.
"Saya bukan hendak salahkan undang-undang, memang kami ada salah tetapi untuk isu seperti ini, cuba bincangkan dulu. Ini terus tangkap lebih 400 kanak- kanak dan mereka tidak tahu cerita.
"Memang liwat itu ada satu atau dua, tetapi kenapa dirangkumkan semua? Hasil daripada itu juga kata memperdagangkan manusia, eksploitasi kanak-kanak, ini berlaku terlalu pantas langsung tidak ada perundingan," katanya di sini pada Sabtu.
Op Global: Ada kes liwat, cuma satu, dua kes sahaja - Pemimpin GISB
Nasiruddin mendakwa beliau berasa pelik kerana semua yang berlaku ke atas GISB tiada perundingan dengan pihak-pihak berkuasa sebelum ini.
"Perundingan itu maksudnya, kenapa buat macam ini, kenapa jadi macam ini. Kenapa buat kanak-kanak begini, misalnya," tambahnya.
Akibatnya, kata beliau, GISB ditohmah dan difitnah hingga keadaan menjadi huru-hara dan diumpamakan melebihi keadaan di Gaza.
Nasiruddin berkata, perkara itu pernah dibincang selain mengakui GISB memang mempunyai kesalahan dari segi perundangan.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk kesalahan terbabit mahupun pihak yang mengadakan perbincangan bersama GISB sebelum ini.
"Saya sangat sedih, saya orang Islam, tuan-tuan pun orang Islam. Pecah kita sesama Islam, kemudian anak-anak ditangkap sebagainya.
"Saya bukan mahu menyalahkan undang-undang, memang kami ada salah dari segi undang-undang tetapi tidak boleh nasihat ke?
Dalam pada itu Nasarudin turut menafikan dakwaan yang mengatakan GISB menanamkan doktrin mengenai ajaran Islam yang menyeleweng terhadap kanak-kanak dan remaja yang mendiami rumah amal dikaitkan dengan organisasi itu.
"Kami sudah buat 30 tahun dan buka (cawangan) di seluruh dunia, hampir 20 cawangan dan tiada masalah. Kami berhubung dengan duta dan tolong pihak kedutaan.
"Kami ajar budak solat, membesarkan ibadat solat berjemaah. Ini tuduh macam-macam, kenapa semudah itu dikeluarkan dalam media massa yang dilihat (masyarakat) pelbagai peringkat," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, GISB akan melantik peguam bagi memulakan tindakan perundangan ke atas pihak yang didakwa melemparkan tohmahan terhadap organisasi itu.
"Barangan yang kita hasilkan halal dan dapat pensijilan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), sudah diimport ke Arab Saudi selain banyak kedai sudah ambil (untuk diniagakan), (sudah ada) pulangan balik (keuntungan)," katanya lagi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dalam sidang media pada Jumaat berkata, risikan mendapati eseluruhan kanak-kanak itu menjalani proses tumbesaran sepenuhnya dalam rumah amal dikaitkan dengan GISB.
Selain itu, pemeriksaan mendapati 13 kanak-kanak yang menjadi penghuni rumah perlindungan yang diserbu PDRM, disyaki diliwat.
Dalam Op Global dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi Khamis, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.
#Ketua Polis Negara #Razarudin Husain #gisbh #liwat
;