Memanfaatkan Visi 2030 Arab Saudi, buka peluang baharu hubungan erat Malaysia-Saudi
Astro Awani
Mac 26, 2023 12:00 MYT
Mac 26, 2023 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi dapat meningkat lagi hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, dalam lawatan tiga hari tersebut, Perdana Menteri mempelawa komuniti perniagaan di Arab Saudi untuk lebih banyak melabur di Malaysia.
“Dalam keadaan geopolitik global semakin berubah sekarang ini di timur tengah dan saya rasa ini adalah kesempatan yang boleh diambil oleh Anwar untuk ke Arab Saudi bagi menjalinkan kerjasama dan mengeratkan hubungan.
“Golongan peniaga di sana (Arab Saudi) juga diberi perhatian supaya mereka boleh melabur di Malaysia dalam sektor-sektor yang menjadi keutamaan negara sekarang ini seperti teknologi digital dan sekuriti makanan yang begitu mendesak sekarang ini,” katanya.
Menurut Mohd Azizuddin, Arab Saudi sedang agresif melaksanakan transformasi sudah semestinya mempunyai modal pelaburan yang boleh dimanfaatkan secara bersama antara kedua-dua negara dalam mencapai matlamat perniagaan, dalam kerangka besar bagi mencapai Visi 2030.
“Cuma kita (Malaysia) perlu yakinkan mereka (Arab Saudi) untuk datang melabur dan menjalin usaha sama bagi membangunkan ekonomi secara bersama seterusnya mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan di negara kita.
“Itu adalah matlamat utama kita (Malaysia) untuk mengajak mereka (Arab Saudi) ini untuk datang melabur di Malaysia,” katanya.
Mohd Azizuddin berkata, rentetan lawatan Anwar ke Arab Saudi turut diadakan pertemuan dengan wakil Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Katanya lagi, kebanyakan dasar yang diputuskan di dalam OIC dipengaruhi oleh Arab Saudi dan ibu pejabat OIC terletak di Riyadh.
Jelasnya, pertemuan itu akan memudahkan usaha Malaysia untuk bersama-sama dengan negara Islam lain untuk menangani pelbagai isu yang dihadapi oleh umat Islam di seluruh dunia secara lebih berkesan.
Tambahnya lagi, sebelum ini hubungan antara Malaysia-Arab Saudi ada naik turun dan setelah Anwar dilantik sebagai PM, hubungan antara kedua-dua negara bertambah baik.
“Arab Saudi sebagai negara penting, bukan sahaja dalam rantau Asia Barat atau Timur Tengah tetapi juga banyak berkaitan daripada segi perdagangan dan isu melancarkan pelaksanaan haji dan umrah bagi rakyat Malaysia.
“Kalau kita tengok reaksi Arab Saudi setakat ini apabila Anwar dilantik sebagai PM reaksi sangat positif datang dari Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang mengalu-alukan pelantikan Anwar sebagai pemimpin Malaysia,” ujarnya.
Sebanyak tiga memorandum persefahaman telah ditandatangani dan disaksikan oleh Anwar. Ia membabitkan Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan & Bros Holding Group Co; Dewan Perdagangan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co; dan yang ketiga, Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies Sdn Bhd.
Anwar turut mengadakan pertemuan dengan 20 ketua syarikat di dalam satu mesyuarat untuk membincangkan bentuk kerjasama dan sektor baru yang boleh diterokai secara bersama.