'Memalukan!' - Pengunjung ditegur ambil bunga di Pesta Floria
Gempak
September 9, 2022 12:30 MYT
September 9, 2022 12:30 MYT
MEMALUKAN!
Itu antara reaksi segelintir pengguna media sosial merujuk kepada tindakan pengunjung yang tidak bertanggungjawab memetik dan mengambil bunga-bungaan di pesta Floria Putrajaya yang sedang berlangsung hingga 11 September ini.
Menerusi siaran yang dimuat naik di Facebook rasmi Royal Floria Putrajaya, pihak pengurusan menasihati orang awam agar tidak 'mencuri' pokok-pokok yang dijadikan pameran di pesta yang bertempat di Anjung Floria, Putrajaya itu.
"Pengunjung Royal Floria Putrajaya adalah dimohon untuk tidak mengambil pokok-pokok bunga di Anjung Floria.
"Supaya pengunjung yang bakal datang sehingga 11 September 2022 turut berpeluang untuk menikmati keindahan dan kecantikan bunga-bungaan yang masih dipamerkan di Floria," tulis pengendali akaun berkenaan.
Hantaran terbabit mendapat perhatian warganet yang turut kecewa dengan akhlak dan tindakan mementingkan diri itu.
"Memalukan betul, dah bagi masuk percuma. Pergi rembat pula pokok-pokok itu.
"Sebab itulah semua benda atas muka bumi ini patut berbayar, biar ada rasa nak hargai tu.
"Apa bendalah. Minat bunga tapi mencuri.
"Sabarlah. Tunggu pengumuman kata boleh ambil, nak bawa lori pun tak apa. Bukan pihak Floria tak pernah bagi," tulis beberapa pengguna di media sosial.
Festival yang mempamerkan pelbagai spesies dan bunga-bungaan serta tanaman hiasan, Floria Diraja Putrajaya 2022 di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya yang sepatutnya berakhir pada hujung minggu lalu telah dilanjutkan sehingga 11 September berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Bertemakan Floria Hebat dengan orkid sebagai bunga tema, edisi terkini festival itu menghimpunkan kira-kira 10,000 orkid yang dipamerkan dengan lebih daripada 400,000 pokok pelbagai spesies. -Gempak