Memalukan bila pengunjung tempatan ditegur pelancong asing buang sampah merata - MPM

Bernama
Januari 2, 2021 16:42 MYT
Tanda amaran denda turut diletakkan di sebelah tong sampah yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) supaya sampah tidak dibuang di luar tong sampah. - Foto BERNAMA
PULAU PANGKOR: "Malu."
Itu reaksi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Syamsul Hazeman Md Salleh ketika mengulas isu sepasang pelancong asing menegur perbuatan segelintir pengunjung tempatan membuang sampah merata-rata di sini yang rakaman videonya tular menerusi media sosial baru-baru ini.
"Adalah memalukan apabila pelancong luar menularkan isu sampah sarap di media sosial, sekali gus menimbulkan persepsi negatif kononnya Pulau Pangkor berada dalam keadaan yang kotor dan tidak terurus,
"Keadaan tidaklah seteruk itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bagaimanapun katanya bagi memastikan persekitaran destinasi pelancongan itu kekal bersih, MPM akan melancarkan kempen 'Lapor Pelaku' dalam masa terdekat.
Menerusi kempen itu, orang ramai yang menyaksikan perbuatan sedemikian boleh melaporkan kepada MPM dengan menghantar bukti dalam bentuk gambar atau video bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pelaku, katanya.
Syamsul Hazeman berkata pihaknya juga telah memohon peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan 'panas' sekitar kawasan destinasi pelancongan terkemuka itu.
Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata masalah tersebut mungkin berpunca daripada kehadiran ramai pelancong selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat tamat.
"Di Pulau Pangkor ini, kita akur keadaan sesak dengan kehadiran pelancong. Namun tindakan serta-merta telah diambil oleh MPM bagi mengatasi masalah itu termasuk melakukan kutipan sampah dua kali sehari di kawasan berkenaan," katanya kepada Bernama.
Pada masa sama, beliau menggesa semua pihak, baik masyarakat setempat mahupun pelawat, agar bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan, bukan sahaja di kawasan pelancongan tetapi juga di seluruh negara.
Sementara itu, beberapa penduduk setempat yang ditemui Bernama mendakwa sikap segelintir pengusaha gerai makanan dan pelancong yang membuang sampah di tempat tidak sepatutnya punca kawasan di sekitar Teluk Nipah di sini berselerak dan kotor.
Asmadi Teh, 58, dari Kampung Teluk Kechil berkata keadaan itu biasanya berlaku semasa cuti hujung minggu atau cuti persekolahan.
Dakwa pengusaha resort itu ada sesetengah pelancong bertindak membuang sampah secara "pandu lalu", sekali gus menyebabkan sampah tersebut bersepah dan kemudian diselerakkan oleh anjing jalanan atau haiwan liar yang mencari makanan.
Seorang lagi penduduk, Intan Najiha Sekri, 25, dari Pasir Bogak pula berkata tong sampah jenis 'arm roll' tidak sesuai diletakkan di tepi jalan yang merupakan laluan utama kerana boleh mencacatkan pemandangan.
"Saya agak malu juga apabila isu sampah ini ditularkan dalam Facebook oleh pelancong asing kerana keadaan sebenar di sini tidaklah seburuk seperti yang digambarkan," katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi 27 saat di laman media sosial Facebook yang memaparkan sepasang pelancong asing menegur sikap segelintir pengunjung di Pulau Pangkor membuang sampah di luar tempat yang telah disediakan oleh pihak bertanggungjawab.
-- BERNAMA
#Majlis Perbandaran Manjung #MPM #Syamsul Hazeman Md Salleh #Pulau Pangkor #buang sampah #Pelancong asing #Lapor Pelaku
;