Memahami proses pemilihan pinjaman bahasa - DBP

Farhana Joni
Julai 1, 2020 11:32 MYT
Menjadi kekhuatiran DBP apabila masyarakat tidak menggunakan atau membiasakan penggunaan istilah bahasa Melayu yang diperkenalkan pihaknya.
Sohor kini (trending), suri teladan (role model), jerayawara (road show), latar pentas (backdrop), gegantung (bunting) dan imej tumpu (highlight).
Demikian antara perkataan bahasa Melayu yang jarang digunakan dalam pertuturan harian masyarakat di negara ini yang lebih senang menggunakan perkataan asalnya dalam bahasa Inggeris.
Menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, terdapat satu jawatankuasa di agensi tersebut yang bertanggungjawab mencari setiap istilah atau perkataan baharu dalam bahasa Melayu.
"Setiap hari jawatankuasa ini akan melihat dan mengutip istilah-istilah baharu. Di DBP, kita menerima ilmu, maknanya kita terpaksa menunggu apa yang bakal berlaku.
"Dalam bidang teknologi maklumat misalnya, sangat malang sebab kita bukan pencipta jadi kita menunggu dari luar.
"Perkataan big data contohnya, kita ada istilah data raya. Tetapi, banyak juga yang nasib tidak baik, perkataan itu tiada dalam budaya kita, sekali gus menjadi masalah untuk mencari padanan kata untuk disesuaikan," katanya kepada Astro AWANI.
Jelas Abang Sallehuddin, pinjaman perkataan daripada bahasa asing hanya akan dilakukan selepas usaha mencari bahasa paling dekat dengan budaya di negara ini.
"Peraturan kepada peminjaman kata, sama ada dari bahasa Inggeris, bahasa Arab mahu pun bahasa Jerman, kita terima untuk dipinjamkan dalam bahasa Melayu.
"Bagaimanapun, kita meminjam bahasa asing itu adalah terpaksa dan hanya selepas kita tidak menemui perkataan asal dalam budaya serta persekitaran kita," katanya.
Tambah beliau, terdapat panduan dalam aspek ejaan sekiranya DBP bersetuju untuk melakukan pinjaman perkataan bahasa lain.
"Misalnya perkataan parcel yang dirujuk sebagai 'kawasan' di Amerika Syarikat, cuba dibawa ke sini, namun ada bantahan dan ditukar kepada perkataan 'kompleks'.
"Perkataan kompleks itu diterima sedangkan ia juga adalah perkataan pinjaman dari bahasa Inggeris," katanya.
Dalam perkembangan sama, Abang Sallehuddin memberitahu, menjadi kekhuatiran DBP apabila masyarakat tidak menggunakan atau membiasakan penggunaan istilah bahasa Melayu yang diperkenalkan pihaknya.
Katanya, golongan berkenaan lebih suka mengambil jalan mudah walaupun diakui, dalam isu bahasa, termasuk bahasa Melayu, memang ada pertembungan budaya.
"Maka, bahasa itu akan mati, seperti tetuang udara atau lebih dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai radio. Itu memang konsep bahasa, iaitu bahasa hanya akan hidup jika digunakan," katanya.
#Abang Sallehuddin Abang Shokeran #bahasa asing #bahasa Inggeris #Bahasa Melayu #DBP #istilah #istilah baharu #jawatankuasa #padanan kata #perkataan baharu #pinjaman #pinjaman perkataan #Teknologi Maklumat
;