Melindungi warga emas daripada ancaman influenza
Kenyataan Media
Februari 5, 2021 08:52 MYT
Februari 5, 2021 08:52 MYT
SETIAP tahun mempunyai dugaannya yang tersendiri, tetapi tahun 2020 terbukti lebih mencabar akibat pandemik COVID-19.
Dalam jangka masa tidak sampai 12 bulan, penyakit ini telah merebak ke 190 negara, menjangkiti lebih 104 juta orang, mengorbankan lebih 2.2 juta nyawa, menjejaskan mata pencarian dan membebankan sistem penjagaan kesihatan dengan teruk sekali.
COVID-19 telah menyedarkan penduduk dunia tentang bahaya tanpa perlindungan vaksin.
Walaupun semua orang berisiko, ancaman ini adalah lebih besar bagi warga emas kerana usia mereka yang meningkat dan penyakit kronik yang mereka hidapi.
Usaha global untuk menghasilkan vaksin COVID-19 yang selamat dan berkesan telah mula membuahkan hasil.
Walaupun terdapat beberapa jenis vaksin yang masih dalam pembangunan, terdapat juga vaksin yang sudah diluluskan untuk diguna pakai di negara-negara tertentu.
Malaysia akan turut melaksanakan usaha vaksinasi COVID-19 dalam beberapa bulan akan datang.
Namun, dalam kita mencegah penyakit COVID-19, jangan sesekali kita lupakan warga emas di Malaysia yang telah lama menderita selama beberapa dekad dan terkorban akibat sejenis penyakit berjangkit yang lebih lazim dan sama bahayanya seperti COVID-19, iaitu influenza atau ‘flu’.
Ia merupakan sebuah tragedi yang boleh dicegah dan perlu dihentikan.
Warga emas dan flu
Penyakit flu mempunyai banyak persamaan dengan COVID-19. Kedua-duanya adalah penyakit berjangkit sistem pernafasan yang merebak melalui titisan air hidung dan air liur, dan mempunyai gejala yang sama.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 290,000 hingga 650,000 nyawa diragut oleh flu setiap tahun, dan kira-kira 90 peratus kematian tersebut adalah dalam kalangan warga emas.
Di Malaysia, satu kajian tempatan mendapati bahawa penghidap penyakit mirip influenza yang melebihi 65 tahun, mempunyai risiko kematian 10 peratus lebih tinggi.
Orang yang berumur 65 tahun ke atas lebih mudah dijangkiti flu dan mengalami kesan-kesannya.
Sistem imun mereka kurang mampu mengaktifkan sel-sel imun yang diperlukan untuk membunuh virus influenza dalam paru-paru.
Perubahan berkaitan dengan usia juga berlaku pada tisu penghubung paru-paru dan struktur sangkar toraks.
Kesemua faktor ini mengurangkan kemampuan warga emas untuk melawan penyakit sistem pernafasan yang serius.
Mereka juga lebih mudah menghidap Acute Respiratory Distress Syndrome (ARDS) dan pelbagai lagi komplikasi flu; yang paling lazim adalah pneumonia.
Perlindungan melalui vaksinasi
Vaksinasi flu terbukti dapat melindungi warga emas kita daripada komplikasi flu yang teruk.
Kajian menunjukkan bahawa ia dapat mengurangkan risiko berjumpa doktor untuk penyakit flu sebanyak 45 peratus dan mengurangkan risiko pneumonia sebanyak 49 peratus.
Di samping itu, vaksinasi juga menghindari keperluan kemasukan ke hospital akibat flu sebanyak 45 peratus, sekali gus dapat mengurangkan penderitaan fizikal, tekanan emosi, kos rawatan dan beban kewangan keluarga yang berkaitan dengannya.
Disebabkan kelebihan-kelebihan ketara seperti ini, banyak negara membekalkan vaksinasi flu secara percuma atau secara subsidi kepada warga emas di bawah program imunisasi nasional (PIN) mereka, contohnya Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Australia, New Zealand dan kebanyakan negara-negara Eropah.
Manakala contoh di Asia pula adalah Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan juga Singapura.
Inisiatif vaksinasi penduduk seperti ini telah menunjukkan hasil yang positif secara konsisten.
Sebagai contoh, AS telah berjaya mengurangkan kadar kematian flu dalam kalangan warga emas sebanyak 50 peratus setelah melaksanakan strategi vaksinasi di seluruh negara.
Malangnya, dengan kadar pengagihan sebanyak 7.48 dos bagi setiap 1,000 orang penduduk, pengambilan vaksin flu di negara kita masih sangat rendah.
Namun begitu, dengan perlaksanaan kempen-kempen seperti "Pencegahan Flu, Pengikat Kasih Sejati", semakin ramai rakyat Malaysia sedar akan kepentingan vaksinasi flu.
Seperti yang diumumkan di media baru-baru ini, kempen tersebut berjaya mengumpul lebih 360,000 ikrar sokongan awam yang berhasrat mencegah penyakit flu.
Kami mengucapkan tahniah kepada penganjur, Immunise4Life, atas pencapaian ini dan berharap lebih ramai warga emas akan mendapatkan vaksin flu.
Menyokong vaksinasi flu untuk warga emas
Kami percaya setiap orang berperanan untuk melindungi warga emas daripada penyakit flu.
Oleh yang demikian, kami menggesa semua profesional penjagaan kesihatan untuk menasihati klien yang berumur agar mengambil vaksin dan meyakinkan mereka tentang keselamatan dan keberkesanannya.
Di samping pencegahan flu, manfaat kesihatan lain yang berkaitan dengan vaksin tersebut juga harus disampaikan.
Antaranya termasuk menurunkan risiko kejadian kardiovaskular bagi pesakit yang menghidap penyakit jantung.
Perkara yang sama juga boleh dikatakan tentang pesakit diabetes dan buah pinggang kronik.
Melalui sokongan yang prihatin, warga emas dapat dipujuk untuk menerima vaksinasi flu sebagai langkah pencegahan yang penting.
Terutama sekali kerana golongan inilah yang ramai menghidap penyakit tidak berjangkit, yang bakal dirangsang akibat serangan flu.
Bagi anak dewasa yang menjaga orang tua mereka, tahun 2021 amat sesuai sekali untuk memulakan pemberian suntikan flu tahunan mereka.
Mulai 1 Januari 2021, rakyat diberi pengecualian cukai untuk perbelanjaan vaksinasi tertentu (termasuk flu).
Kami berharap orang ramai akan memanfaatkan bantuan yang diberikan ini dan menerapkan dalam diri bahawa 'mencegah lebih baik daripada mengubati'.
Masyarakat sering kali melupakan warga emas di rumah orang tua. Umum diketahui bahawa penyakit berjangkit merebak dengan lebih cepat dan meluas di bangunan yang padat penghuni.
Perkara ini telah terbukti dengan tragedi penularan COVID-19 di rumah-rumah orang tua di UK.
Penyakit flu turut menimbulkan ancaman serupa, yang kami harap dapat diredakan dengan pembekalan suntikan flu tahunan kepada golongan yang sangat memerlukan dan terpinggir ini.
Tidak lama lagi, Malaysia bakal mendapat status negara tua.
Oleh yang demikian, kita mesti mula mengatur langkah bagi menentukan kesihatan dan kesejahteraan warga emas kita, seperti mencapai sasaran liputan vaksinasi dalam kalangan warga emas sebanyak 75% yang dicadangkan oleh WHO.
Konsep vaksinasi seumur hidup merangkumi vaksinasi flu untuk warga emas, dan ia sejajar dengan seruan penuaan sihat sebagai hak untuk semua.
Diterbitkan bersama oleh
MALAYSIAN INFLUENZA WORKING GROUP
Kumpulan Kepentingan Khas di bawah Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia.
Sejajar dengan Perikatan Asia-Pasifik untuk Pengendalian Influenza (APACI).
MALAYSIAN SOCIETY OF GERIATRIC MEDICINE
Kenyataan media ini disokong oleh:
• ACADEMY OF FAMILY PHYSICIANS OF MALAYSIA
• ACADEMY OF MEDICINE MALAYSIA
• PERSATUAN PENGENDALI JAGAAN BERKEDIAMAN WARGA EMAS SEMALAYSIA (AGECOPE)
• COLLEGE OF PHYSICIANS – ACADEMY OF MEDICINE MALAYSIA
• PERSATUAN GERONTOLOGI MALAYSIA
• IMMUNISE4LIFE
• LUNG FOUNDATION OF MALAYSIA
• MALAYSIA HEALTHY AGEING SOCIETY
• MALAYSIAN HEALTH COALITION
• MALAYSIAN MEDICAL ASSOCIATION – JAWATANKUASA KESIHATAN WARGA EMAS
• MALAYSIAN RESEARCH INSTITUTE ON AGEING (MYAGEING)
• PERSATUAN PENYAKIT BERJANGKIT DAN KEMOTERAPI MALAYSIA
• MALAYSIAN THORACIC SOCIETY
• NATIONAL COUNCIL OF SENIOR CITIZENS ORGANISATIONS MALAYSIA
• U3A BANDAR UTAMA
• U3A MALAYSIA
• U3A PETALING JAYA
• USIAMAS
#Malaysian Medical Association
#suntikan flu
#vaksinasi flu
#Influenza
#warga emas
#penyakit berjangkit
#titisan air hidung
#WHO
#NGO
#COVID-19
#pandemik