Melaksanakan proses demokrasi sebenarnya tak perlu belanja besar - Yusmadi Yusoff
Israr Khalid
Februari 18, 2022 06:26 MYT
Februari 18, 2022 06:26 MYT
KUALA LUMPUR: Perbelanjaan kerajaan untuk kepentingan sendiri melebihi apa yang sepatutnya dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat adalah satu perbuatan yang sangat tidak bermoral.
Tegas pengamal undang-undang, Yusmadi Yusuf, nilai begini yang harus dipertimbangkan oleh rakyat dalam memilih seseorang pemimpin yang benar-benar ikhlas dan mampu untuk mewakili suara mereka di Parlimen.
Bercakap dalam konteks pilihan raya, beliau melihat parti-parti politik berbelanja terlalu besar untuk propaganda dan kempen namun tidak setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat yang berada di bawah naungan mereka.
“Tahukah kita bahawa bajet kewangan untuk menguruskan pilihan raya ini berjuta-juta, malah dari segi trend ia makin meningkat?
“Jadi persoalan saya, di kala kita bercakap dalam konteks cabaran ekonomi tentang beban rakyat, adalah satu perkara yang tidak bermoral kalau kita belanja sesuatu perkara yang melangkaui isu-isu kemanusiaan dan kemiskinan,” katanya.
Selaku bekas Senator di Dewan Negara, beliau sendiri melihat perbelanjaan untuk fasiliti dan kemudahan Ahli Parlimen ada kalanya lebih daripada apa yang diperlukan, ketika rakyat masih ada yang bergelut untuk mencari sesuap nasi.
Maka jelasnya kita harus kembali kepada asas dengan memahami apa sebenarnya makna dan tanggungjawab menjadi pemimpin dan rakyat, dan bagaimana untuk memainkan peranan masing-masing dengan sebaik-baiknya.
Sebagai pemimpin, haruslah memastikan rakyatnya didahulukan sebelum kepentingan dirinya, sementara menjadi rakyat juga harus menjadi terdidik dan bijak memilih pemimpin yang benar-benar layak diangkat.
“Sebenarnya kita perlu mendidik sedalam-dalamnya bagaimana untuk memilih seseorang mewakili suara rakyat dengan cara yang bagi saya mesti mengimbangi dengan bertanggungjawab.
“Istilah ‘Parlimen’ itu sendiri daripada perkataan Perancis “parlez”, ertinya bercakap bersembang. Takkanlah nak ‘bersembang’ pun memerlukan berjuta-juta ringgit, bangunan makin tinggi tapi budaya demokrasi tak ada juga?”
Tonton Agenda AWANI Khas: Suburkan Demokrasi Negara pada Jumaat yang dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini: