Melaka umum tarif baharu air Rabu ini - Ab Rauf

Bernama
Januari 22, 2024 14:05 MYT
Ab Rauf berkata pelarasan baharu tarif berkenaan tidak akan terlalu membebankan pengguna sekali gus membantu kelestarian bekalan tersebut kepada semua pihak. - Gambar fail/Astro AWANI
ALOR GAJAH: Kerajaan Melaka akan mengumumkan tarif baharu air pada Rabu ini dengan mengutamakan kepentingan pengguna dan pemegang taruh terlibat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata pelarasan baharu tarif berkenaan tidak akan terlalu membebankan pengguna sekali gus membantu kelestarian bekalan tersebut kepada semua pihak.
"Had siling (pelarasan baharu air) adalah 22 sen, jadi kita akan melihat di Melaka, dalam had yang ada, berapa jauh 22 sen yang Melaka boleh sampai (boleh selaraskan harga)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kilang Audemars Microtec (Malaysia) Sdn Bhd di Kawasan Industri Angkasa Nuri, Durian Tunggal di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Audemars Audemars Microtec (Malaysia) Sdn Bhd Dr Mirko Audemars, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) S. Sivasuriyamoorthy.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kebanyakan negeri ketika ini berdepan dengan kehilangan kira-kira 40 peratus air terawat berikutan mengalami masalah paip dalam tanah yang bocor selain kali terakhir semakan tarif dilakukan di Melaka lebih 18 tahun lalu.
"Tapi prinsipnya sama, Johor, Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, Perlis, paip air kita dah puluhan tahun dan memerlukan satu penyelenggaraan atau pertukaran paip itu mesti dibuat pada waktu ini.
"Kalau tidak nanti kita membekalkan air hanya sampai kepada pengguna 60 peratus, baki 40 peratus hilang dalam tanah. Jadi kalau dah hilang 40 peratus air, jumlah pelaburan pun hilang 40 peratus," katanya.
Katanya justeru kerajaan negeri dan rakyat perlu bekerjasama antara satu sama lain untuk memastikan bekalan air dapat dibekalkan ke tahap minimum 90 peratus agar ia dapat memberi manfaat kepada semua pihak.
Pada 17 Jan lalu, SPAN mengumumkan pelarasan tarif air bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksanakan bermula 1 Feb ini.
Pelarasan itu menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu air.
-- BERNAMA
#tarif air #Melaka #Ab Rauf Yusoh #Ketua Menteri Melaka
;