Melaka tubuh badan pemikir untuk perkasa, perjuang hak wanita
Bernama
Mei 4, 2023 04:15 MYT
Mei 4, 2023 04:15 MYT
MELAKA: Kerajaan negeri Melaka di bawah portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti telah menubuhkan badan pemikir atau 'think tank' dalam usaha memperkasa dan memperjuang hak wanita di negeri itu dalam pelbagai aspek antaranya ekonomi dan sosial.
Exconya Datuk Kalsom Nordin berkata badan pemikir itu dianggotai kalangan profesional pelbagai bidang dari dalam dan luar Melaka untuk menggerakkan inisiatif tersebut dan ia merupakan antara misi beliau pada tahun ini.
"Think tank ini akan bersidang selepas Aidilfitri ini bagi membincangkan usaha, pendekatan atau program yang boleh dilaksanakan untuk memperkasa dan memperjuang hak wanita Melaka.
"Antara isu yang diberi fokus ialah penganiayaan, penderaan dan hak-hak wanita selain ibu tunggal kerana wanita adalah segala-galanya... kita dilahirkan dari rahim seorang wanita," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di sini pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata antara individu lain yang turut dijemput menganggotai badan pemikir berkenaan ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang memegang jawatan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Dalam perkembangan lain, katanya ibu bapa diminta untuk mengawal pergerakan atau aktiviti anak-anak mereka khususnya di luar rumah dalam usaha mengelak insiden strok haba ekoran cuaca panas dan fenomena El Nino yang dijangka berlaku pada Jun ini.
"Walaupun suhu di Melaka mencapai kategori tahap satu atau berjaga-jaga, namun langkah pencegahan khususnya melibatkan anak-anak terhadap kesan cuaca panas adalah penting agar tidak berlaku insiden strok haba," katanya.
Beliau berkata selain itu, ibu bapa juga diminta memastikan anak-anak minum air masak mencukupi dan makan mengikut masa serta mendapat nutrisi mencukupi bagi mengelak masalah kesihatan lain dalam tempoh cuaca panas yang melanda negeri itu.
-- BERNAMA