Melaka tidak kompromi ajaran sesat - Ab Rauf

Bernama
September 17, 2024 16:22 MYT
Beliau berkata Majlis Agama Islam Melaka sentiasa melakukan pemantauan walaupun tiada sebarang laporan diterima berkaitan GISB di negeri itu. - Gambar fail/Astro AWANI
MELAKA: Kerajaan negeri tidak berkompromi dengan mana-mana gerakan yang melanggar tatacara dan akidah Islam, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata Majlis Agama Islam Melaka sentiasa melakukan pemantauan walaupun tiada sebarang laporan diterima berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISB) di negeri itu.
"Bagi pihak kerajaan negeri, kita tiada halangan sekiranya ada perkara perlu dilihat, dikaji, diberikan perincian serta cadangan untuk diambil tindakan atau sebaliknya," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1446 Hijrah peringkat negeri di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, hari ini.
Beliau berkata Jabatan Agama Islam Melaka (MAIM) dan Mufti Kerajaan Negeri Melaka akan mengeluarkan fatwa melalui Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri sekiranya wujud elemen ajaran sesat berkaitan GISB di Melaka.
Sementara itu, Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil menggesa umat Islam khususnya ibu bapa sentiasa melihat pergerakan ahli keluarga bagi mengesan sekiranya wujud elemen pengajruh ajaran sesat dalam kalangan mereka.
"Majlis Agama Islam dan bahagian penguatkuasaan sentiasa memantau penularan ajaran sesat kerana kita percaya walaupun isu itu tidak berlaku atau berkembang di Melaka, tetapi tidak mustahil ada pengikut yang bertapak di negeri ini dan itulah yang membimbangkan.
"Jadi kita menyeru kepada ahli keluarga dan masyarakat agar memberi maklumat dan melaporkan sekiranya ada keraguan terhadap kumpulan tertentu, tentang ajaran serta kaedah disampaikan, terlalu berahsia atau mempunyai elemen ajaran sesat.
"Maklumat itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
-- BERNAMA
#GISB #Ab Rauf Yusoh #ajaran sesat #Melaka
;