Melaka sasar sedia 350 petak EVCB menjelang 2025 - Ab Rauf
Bernama
Februari 19, 2024 07:15 MYT
Februari 19, 2024 07:15 MYT
MELAKA: Kerajaan Melaka menyasarkan penyediaan 350 petak pengecasan kenderaan elektrik (EVCB) di negeri itu menjelang 2025, selaras dengan Garis Panduan Perancangan EVCB yang ditetapkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, setakat ini 118 EVCB arus terus (DC) dan arus ulang-alik (AC) telah dipasang di 40 lokasi di seluruh Melaka khususnya di kawasan bandar.
"Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif ini dan akan mengguna pakai Garis Panduan Perancangan EVCB bagi semua permohonan pembangunan stesen pengecasan kenderaan elektrik di negeri ini.
"Justeru, saya mahu Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) bertindak segera dalam memastikan peranan dan fungsi sebagai peneraju utama pembangunan teknologi hijau negeri Melaka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hab Pengecasan di Concept Hotel oleh EVPower Sdn Bhd, pada Isnin.
Turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan Ketua Pegawai Eksekutif EVPower, Cornelius Ee.
Ab Rauf berkata, inisiatif oleh PTHM dan EVPower itu akan meningkatkan usaha untuk menggalakkan amalan mobiliti rendah karbon bukan sahaja dalam kalangan rakyat Melaka tetapi juga negara ini.
Beliau berkata, sebagai negeri pelancongan, usaha menambah lebih banyak EVCB juga dapat memudahkan pengguna EV ketika berkunjung ke negeri itu.
Dalam pada itu, katanya, pada masa hadapan, kerajaan negeri akan mewujudkan kawasan Zon Bebas Kenderaan khas bagi EV di negeri itu.
"Bagaimanapun, pelaksanaan inisiatif ini bergantung kepada perkembangan penggunaan EV pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTHM, Mohd Hafizam Mustaffa berkata, pihaknya sedang mengenal pasti lokasi baharu pemasangan EVCB di sekitar kawasan tumpuan awam di sekitar bandar Melaka.
Beliau berkata, PTHM juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan syarikat pemasangan tapak pengecasan EV di negara ini untuk mencapai sasaran 350 EVCB menjelang 2025.
"Kita ada garis panduan untuk pembinaan stesen pengecasan EV berikutan ia melibatkan isu keselamatan kerana melibatkan penggunaan arus yang tinggi terutama bagi pengecas jenis DC.
"Sekarang ini pun sudah ada EV yang berharga di bawah RM100,000, sekali gus pengguna kenderaan EV juga dijangka meningkat dan kita tidak mahu pengguna yang berkunjung ke Melaka sukar mengecas kenderaan mereka," katanya. - BERNAMA