Melaka pilihan pelancong bercuti sempena Aidilfitri

Bernama
Mei 3, 2022 21:14 MYT
Tinjauan di sekitar Bandar Hilir mendapati banyak kenderaan memasuki kawasan pelancongan yang rata-rata penuh dengan orang ramai membawa keluarga masing-masing. - Gambar/ Bernama
MELAKA: Lokasi pelancongan di Melaka terus menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negeri ini yang mengambil kesempatan cuti umum sempena Aidilfitri untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Tinjauan Bernama di sekitar Bandar Hilir di sini hari ini, mendapati banyak kenderaan memasuki kawasan pelancongan yang rata-rata penuh dengan orang ramai membawa keluarga masing-masing.
Seorang pengunjung, R. Sinadurai, 47, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkata dia mengambil peluang cuti umum itu untuk bercuti bersama ahli keluarganya ke Melaka.
Katanya negeri ini banyak tempat menarik dan sesuai untuk dikunjungi, serta mudah untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat selain banyak pilihan makanan.
"Sudah lama kami tidak datang ke Melaka dan disebabkan semua ahli keluarga dapat cuti kami sepakat datang dari Pulau Pinang ke sini," katanya.
Seorang pesara kerajaan, Rashid Rahmad, 66, dari Kajang, Selangor berkata dia dan ahli keluarganya yang menyambut Aidilfitri di Port Dickson, Negeri Sembilan, sengaja datang ke Melaka untuk bersiar-siar kerana tidak jauh dari tempat penginapan mereka.
Katanya hampir 20 tahun tidak datang ke negeri itu, banyak pembaharuan berlaku selain suka dengan kebersihan dan keindahan kawasan pelancongannya.
"Mulanya kami tidak rancang untuk datang ke sini, memang banyak tempat menarik dan bersejarah patut dikunjungi. Saya juga teringin menaiki Melaka River Cruise untuk menyusuri Sungai Melaka," katanya.
Sementara itu, seorang pengayuh beca Shazzuan Abdullah, 33, dari Kampung Limbongan di sini, berkata kehadiran ramai pengunjung sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada golongan pengayuh beca sepertinya yang bergantung rezeki dengan membawa pelancong.
"Sebab itu, selepas menunaikan solat Aidilfitri semalam saya terus ke kawasan sekitar Bandar Hilir untuk bekerja kerana masa inilah ramai pengunjung yang datang dan mahu menaiki beca.
"Cuti perayaan merupakan kesempatan bagi pengayuh beca mencari rezeki lebih kerana biasanya ramai pelancong yang datang. Semalam sahaja lebih 10 pelanggan menggunakan perkhidmatan beca saya," katanya.
Shazzuan juga bersyukur kerana selepas negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dan pembukaan sempadan negara bermula 1 April lepas, dia berpeluang semula membawa pelancong dari luar negara seperti Jepun dan England.
-- BERNAMA
#Aidilfitri #Melaka #bercuti #tumpuan pelancong
;