Melaka peruntukan RM300,000 untuk 30 IPIS berdaftar penuh
Bernama
Mac 8, 2025 06:15 MYT
Mac 8, 2025 06:15 MYT
Ab Rauf (tengah) bersama sebahagian pelajar tahfiz yang hadir pada Majlis Iftar Jamaie Mega sempena Program Ihya Ramadan Peringkat Negeri Melaka 1446H/2025. - Foto BERNAMA
MELAKA: Kerajaan negeri menyalurkan sumbangan kepada 30 institusi pendidikan Islam swasta (IPIS) yang berdaftar penuh di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membabitkan peruntukan RM300,000, tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan tahunan RM10,000 kepada setiap IPIS itu bertujuan membantu meringankan beban kewangan institusi berkenaan khususnya aspek pengoperasian.
Beliau berkata, IPIS terlibat terdiri daripada sekolah rendah Islam swasta, sekolah menengah Islam swasta, sekolah tahfiz swasta dan sekolah pondok Islam swasta.
"Setakat ini, terdapat 116 IPIS di Melaka dan hanya 30 daripada institusi berkenaan berdaftar penuh manakala berdaftar sementara (69), dalam proses pendaftaran (sembilan) dan lapan institusi lagi belum berdaftar," katanya kepada pemberita di Dataran Pusat Islam Melaka, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar Jamaie Mega sempena Program Ihya Ramadan Peringkat Negeri Melaka 1446H/2025 yang turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Sehubungan itu, Ab Rauf berkata, semua IPIS di negeri itu diharap dapat segera berdaftar penuh di bawah JAIM bagi menerima manfaat yang selayaknya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM945,000 sebagai bantuan Syawal kepada golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf melibatkan 8,718 penerima di negeri itu.
"Saya berharap usaha kerajaan negeri menerusi platform seumpama ini dapat merapatkan lagi ukhuwah kekeluargaan rakyat Melaka sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat yang sentiasa menjadi keutamaan," katanya.
Sementara itu, Rahmad berkata, kira-kira 2,000 pelajar tahfiz dan orang awam berbuka puasa pada Majlis Iftar Jamaie Mega yang berlangsung di dataran berkenaan selain sesi tazkirah dan solat maghrib berjemaah.
"Makanan dan minuman untuk berbuka puasa disediakan kepada pengunjung yang hadir pada program ini dan ia adalah acara tahunan yang dianjurkan sebagai antara pengisian sepanjang Ramadan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat Islam di Melaka," katanya.
- BERNAMA