Melaka mulakan Program Imunisasi COVID-19, Ketua Menteri individu pertama disuntik

Shuhada Abdul Kadir
Mac 2, 2021 12:42 MYT
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, menjadi individu pertama di negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech. - Foto Astro AWANI
AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, menjadi individu pertama di negeri ini menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri Melaka, di Dewan Seri Negeri di sini, hari ini.
Sulaiman antara 1,097 individu, termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan petugas barisan hadapan yang menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 itu.
“Saya ingatkan rakyat Melaka di luar sana janganlah bimbang untuk mendapatkan suntikan vaksin ini kerana program ini bukan hanya untuk kebaikan diri sendiri, tetapi keluarga juga.
“Saya ambil suntikan tadi tidak terasa apa pun kerana jarum yang digunakan sangat halus dan saya amat berterima kasih kepada vaccinator yang lakukan suntikan kerana laksanakannya dengan penuh tertib dan beradab,” katanya dalam sidang media selepas menerima suntikan pertama berkenaan.
Pada program itu, selain Sulaiman dan Ab Rauf, empat lagi iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Hasim Hasan, Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, Datuk Dr Ismail Ali serta seorang petugas kesihatan turut menerima suntikan dos pertama sebagai simbolik.
BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19. KLIK di sini.
Mengulas lanjut ujarnya, daripada 1,097 orang penerima suntikan pertama dos vaksin COVID-19 hari ini, 1,037 melibatkan petugas barisan hadapan kesihatan dan beberapa agensi lain manakala hanya 60 penerima membabitkan petugas kerajaan negeri termasuk barisan Exco dan wakil rakyat.
“Di peringkat kerajaan negeri, hanya 60 orang termasuk Exco akan terima suntikan hari ini. Jadi ada yang dakwa kata ahli politik, anggota keluarga potong barisan, datang lah sini tengok ada ke saya bawa isteri dan anak-anak?
“Kerajaan negeri hanya hantar cadangan nama siapa yang perlu dan layak untuk terima suntikan, dan keputusan itu dibuat oleh JKN negeri dan juga Kementerian Kesihatan, bukan kerajaan negeri yang tentukan,” tegasnya.
Di Melaka, seramai 12,870 orang petugas barisan hadapan dijadual menerima suntikan pada fasa pertama, manakala fasa 2 dijadualkan pada bulan April hingga Ogos, akan membabitkan 250,000 orang dalam kumpulan warga emas berumur 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU).
Fasa ketiga pula, yang dijadualkan pada September 2021 hingga Februari 2022, disasarkan untuk penduduk di Melaka yang berumur 18 tahun ke atas iaitu warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 400,000 orang.
Sebanyak 23 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Negeri Melaka iaitu membabitkan 19 fasiliti kesihatan manakala empat melibatkan fasiliti kerajaan iaitu di Dewan Seri Negeri, Ayer keroh, Dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Dewan Kementerian Dalam Negeri, serta Dewan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka.
#COVID-19 #vaksin #Ketua Menteri Melaka #Sulaiman Md Ali #Pfizer-BioNTech #Program Imunisasi COVID-19 #beruta Terkini #berita Malaysia #Ab Rauf Yusoh
;