Melaka mula banjir, 34 kawasan terjejas

Shuhada Abdul Kadir
Mac 6, 2025 14:00 MYT
Banjir menjejaskan 17 kampung dan 15 taman perumahan di Melaka Tengah serta dua kawasan kampung di Jasin. -Astro AWANI
MELAKA: Hujan lebat berterusan sejak jam 3 pagi Khamis mengakibatkan sekurang-kurangnya 34 kawasan di Melaka dinaiki air.

Ringkasan AI
  • Hujan lebat sejak jam 3 pagi Khamis menyebabkan banjir di sekurang-kurangnya 34 kawasan di Melaka, dengan empat pusat pemindahan telah diaktifkan.
  • Banjir menjejaskan 17 kampung dan 15 taman perumahan di Melaka Tengah serta dua kawasan kampung di Jasin.
  • Proses pemindahan mangsa sedang giat dijalankan di kawasan terjejas seperti Kampung Kilang Berapi dan Kampung Asam Kumbang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, setakat jam 12.30 tengah hari, empat pusat pemindahan masing-masing tiga di daerah Melaka Tengah dan satu di Jasin juga telah diaktifkan.
“Di Melaka Tengah, tiga pusat pemindahan yang dibuka adalah di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Malim, Balairaya Kampung Lapan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong.
“Manakala di Jasin setakat ini, satu pusat pemindahan dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum dan jumlah kesemua mangsa belum dapat dipastikan sehingga selesai proses pendaftaran,” katanya.
Bencana itu mengakibatkan 17 kampung dan 15 taman perumahan di daerah Melaka Tengah serta sekurang-kurangnya dua kawasan kampung di daerah Jasin.
Antara kawasan yang terjejas di daerah Melaka Tengah adalah di sekitar Kampung Pengkalan Rama, Kampung Chetty, Kampung Limbongan, Kampung Batu Berendam, Kampung Banda Hilir, Kampung Klebang Kecil dan Taman Gadong Perdana.
Manakala dua kawasan terlibat di Jasin adalah di Kampung Kilang Berapi dan Kampung Asam Kumbang.
Tinjauan Astro AWANI di Kampung Kilang Berapi, Merlimau mendapati hujan masih lebat dan proses pemindahan mangsa yang terjejas sedang giat dijalankan.
#banjir #pusat pemindahan #Melaka Tengah #hujan lebat #Kampung Kilang Berapi #Kampung Asam Kumbang
;