Melaka mohon semula untuk bangunkan kawasan tambakan laut Tapak Warisan Dunia UNESCO

Bernama
Julai 9, 2024 14:50 MYT
Ab Rauf berkata langkah diambil berikutan permohonan kerajaan negeri di bawah pentadbiran terdahulu telah ditolak. - Gambar fail
MELAKA: Kerajaan Melaka akan membuat permohonan semula kepada Jabatan Warisan Negara bagi membangunkan kawasan tambak laut yang digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ringkasan AI
  • Kerajaan Melaka akan membuat permohonan semula kepada Jabatan Warisan Negara untuk membangunkan kawasan tambak laut yang digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi projek Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SMWEZ) setelah permohonan terdahulu ditolak.
  • Kerajaan negeri telah menandatangani perjanjian penambakan laut dengan 29 syarikat konsesi melibatkan kawasan seluas 2,192.38 hektar.
  • Antara projek berimpak tinggi di SMWEZ adalah pembinaan pelabuhan baharu utara di Tanjung Bruas dengan anggaran pelaburan RM2 bilion, pelabuhan laut dalam selatan di Telok Mas, pembangunan jeti kapal pesiar di Pulau Melaka, dan chalet terapung di Pulau Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata langkah diambil berikutan permohonan kerajaan negeri di bawah pentadbiran terdahulu telah ditolak, justeru permohonan baharu perlu dibuat bagi memberi laluan kepada projek Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SMWEZ).
"UNESCO telah mengiktiraf Melaka sebagai sebuah Bandaraya Bersejarah, dengan kawasan yang diiktiraf itu juga meliputi kawasan tambakan laut.
"Pentadbiran terdahulu telah berusaha untuk mendapatkan kelonggaran bagi kawasan di bawah UNESCO untuk dibangunkan namun permohonan terbabit ditolak. Justeru kerajaan kegeri akan membuat permohonan baharu pada tahun ini juga," katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Ab Rauf berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) yang ingin tahu status pembangunan di kawasan digazet UNESCO.
Terdahulu, menjawab soalan asal Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) yang bertanyakan status terkini SMWEZ, Ab Rauf berkata kerajaan negeri telah menandatangani perjanjian penambakan laut bersama 29 syarikat konsesi membabitkan kawasan seluas 2,192.38 hektar.
Beliau berkata antara projek berimpak tinggi di SMWEZ ialah pembinaan pelabuhan baharu utara dengan anggaran pelaburan berjumlah RM2 bilion di Tanjung Bruas.
"Selain itu, pembinaan pelabuhan baharu laut dalam selatan di Telok Mas, pembangunan jeti kapal pesiar (Terminal Cruise) di Pulau Melaka dan pembangunan chalet terapung di Pulau Melaka," katanya.
-- BERNAMA
#Melaka #tambakan laut #Unesco #pembangunan SMWEZ
;