Melaka larang kakitangan bawa telefon bimbit ketika mesyuarat bersama Ketua Menteri

Shuhada Abdul Kadir
April 4, 2023 20:40 MYT
Ab Rauf berkata, ketetapan baharu ini juga adalah selari dengan penghayatan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan awam dan memupuk rasa kecintaan kepada negara dan bangsa. - Gambar fail
AYER KEROH: Melaka menguatkuasakan empat pendekatan baharu kepada kakitangan agensi kerajaan negeri itu termasuk memulakan setiap mesyuarat dengan bacaan al-Fatihah serta dilarang membawa masuk telefon bimbit ke dalam mesyuarat.
Arahan itu dikeluarkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dua lagi ketetapan baharu adalah memperdengarkan bacaan surah itu pada pukul 8 pagi, setiap hari bekerja iaitu dari Isnin hingga Jumaat serta memperdengarkan nyanyian lagu kebangsaan dan lagu negeri setiap Isnin.
“Ketetapan baharu ini juga adalah selari dengan penghayatan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan awam dan memupuk rasa kecintaan kepada negara dan bangsa.
“Setiap jabatan dan agensi kerajaan negeri diwajibkan memulakan setiap mesyuarat dengan bacaan al-Fatihah dan memperdengarkan bacaan surah itu pada pukul 8 pagi, setiap hari bekerja iaitu dari Isnin hingga Jumaat.
"Selain itu, kakitangan juga wajib memperdengarkan nyanyian lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya pada pukul 10 pagi setiap hari Isnin dan perlu berdiri hormat ketika lagu tersebut dimainkan,” katanya.
Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, arahan larangan membawa masuk telefon bimbit ke dalam mesyuarat adalah bagi memastikan kerahsiaan maklumat kerajaan.
Ujarnya, lebih-lebih lagi melibatkan mesyuarat rahsia atau sulit yang dipengerusikan oleh ketua menteri.
Sebelum ini, Ab. Rauf, 61, sah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, kira-kira pukul 3.33 petang, Jumaat lalu.
Istiadat angkat sumpah beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.
#Melaka #kakitangan agensi kerajaan #ketetapan baharu #Telefon bimbit #Ab Rauf Yusoh
;