Melaka lancar TIC Bergerak perhebat promosi TMM 2024

Bernama
April 20, 2023 01:45 MYT
Abdul Razak (empat, kiri) melawat operasi TIC Bergerak selepas melancarkannya di Pintu Gerbang Ayer Keroh, Melaka, lewat malam tadi. - Foto Facebook Abdul Razak Abdul Rahman
MELAKA: Kerajaan negeri melancarkan Pusat Informasi Pelancongan (TIC) Bergerak sebagai satu daripada kemudahan dan medium untuk memperhebat promosi sektor pelancongan di seluruh negara sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) sekali gus mencapai sasaran 8.4 juta pelancong pada tahun depan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata TIC Bergerak menggunakan sebuah trak yang telah diubah suai itu siap dibina pada 30 Mac lepas menerusi peruntukan penyaluran khas di bawah inisiatif projek pelancongan daripada Kementerian Kewangan.
"TIC Bergerak berkenaan merupakan langkah mesra rakyat kerana memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat penting berkaitan sektor pelancongan Melaka terutama produk, acara dan pakej pelancongan terkini yang ditawarkan pemain industri di negeri ini.
"TIC itu adalah yang pertama di Melaka dan ia merupakan satu daripada inisiatif Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) untuk memperhebat promosi pelancongan khususnya menarik kedatangan lebih ramai pelancong domestik menjelang TMM 2024," katanya kepada pemberita di Pintu Gerbang Ayer Keroh di sini lewat malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan TIC Bergerak dan Edaran 1,000 Pek Kuih Raya kepada Pelancong dan Perantau Balik Beraya di Melaka yang turut disertai Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan dan Pengurus Besar BPP Sa'ari Basiron.
Abdul Razak berkata TIC Bergerak itu akan menjelajah ke seluruh negara menerusi kempen TMM 2024 mengikut jadual yang ditetapkan dengan satu lokasi tumpuan orang ramai setiap bulan bermula Mei ini.
Beliau berkata lokasi pertama jelajah itu akan diadakan di Aeon Mall, Nilai, Ngeri Sembilan pada 26 hingga 28 Mei diikuti lokasi seterusnya iaitu One Utama, Selangor (9 hingga 11 Jun), Aeon Mall Kinta City, Perak (14 hingga 16 Julai) dan Lebuh Raya Utara Selatan - RR Gelang Patah, Johor (31 Ogos hingga 3 Sept).
Dalam perkembangan lain, katanya sebanyak 502 premis hotel, inap desa, apartmen, chalet berlesen di negeri itu menawarkan sebanyak 23,261 bilik penginapan untuk pelancong di Melaka.
"Kita tidak mempunyai masalah daripada kemudahan penginapan di Melaka menjelang TMM 2024 kerana ia adalah mencukupi dan mampu menampung kedatangan pelancong pada hari biasa atau hujung minggu," katanya.
-- BERNAMA
#TIC Bergerak #Tahun Melawat Melaka 2024 #Abdul Razak Abdul Rahman #trak