Melaka laksana program khas bantu mudahkan OKU dapat lesen memandu

Bernama
November 4, 2023 07:30 MYT
Hameed Mytheen berkata, program dijangka dilaksanakan pada awal tahun depan itu melibatkan kerjasam JPJ dan institut memandu terpilih. - Foto fail/BERNAMA
ALOR GAJAH: Kerajaan Melaka akan melaksanakan program khas bagi memudahkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri itu mendapatkan lesen memandu mengikut prosedur ditetapkan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, program dijangka dilaksanakan pada awal tahun depan itu melibatkan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan institut memandu terpilih.
"Program ini bukan memberi lesen secara percuma tetapi antaranya penganjuran kursus teori bagi membantu mereka mendapatkan lesen memandu tanpa melanggar syarat atau prosedur ditetapkan.
"Usaha ini dilakukan kerana kita lihat terdapat golongan OKU di negeri ini yang sukar bergerak ke institut memandu untuk menjalani kursus, latihan dan ujian bagi mendapatkan lesen memandu," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Hari Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Melaka Peringkat Alor Gajah yang turut dihadiri Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.
Hameed berkata, program berkenaan merupakan satu daripada inisiatif turun padang JPJ kepada masyarakat khususnya OKU supaya tiada yang tercicir dalam mendapatkan lesen memandu.
Beliau berkata, menerusi usaha itu, golongan OKU berpeluang berdikari dan mencari pendapatan sendiri seperti berniaga menggunakan motosikal roda tiga.
Dalam pada itu, Hameed berkata MKJR akan merangka pelbagai program advokasi dan pendidikan berkaitan keselamatan jalan raya di pelbagai peringkat antaranya di sekolah rendah dan menengah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri dalam usaha melahirkan pengguna jalan raya berhemah.
"Pelajar sekolah juga akan menjadi duta kecil kita untuk menyebar atau memberi advokasi berkaitan keselamatan jalan raya kepada rakan sebaya atau ahli keluarga mereka.
"Usaha ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan jalan raya sekali gus dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya khususnya dalam kalangan pelajar sekolah," katanya. - BERNAMA
#Alor Gajah #golongan OKU #lesen memandu #berita dalam negara
;