Melaka laksana kajian terperinci cari kaedah penambahbaikan atasi masalah banjir

Bernama
Oktober 15, 2024 04:45 MYT
Ab Rauf (tengah) bergambar bersama petugas jabatan kerajaan dan agensi ketika melawat PPS SMK Dato' Abdul Rahman Ya'kob di Merlimau, 15 Okt 2024. --fotoBERNAMA
JASIN: Kerajaan Negeri Melaka akan melaksanakan kajian terperinci untuk mencari kaedah penambahbaikan untuk mengatasi masalah banjir terutama di kawasan tanah rendah.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia berikutan perubahan cuaca yang tidak menentu ketika ini menyebabkan bencana banjir berlaku tanpa dijangka.
"Keadaan ini jarang-jarang berlaku namun ketidaktentuan cuaca menyebabkan banjir seterusnya mengubah landskap kehidupan dan struktur kawasan terjejas.
"Justeru, kajian akan dibuat sebelum kita mendapat beberapa kesimpulan untuk penambahbaikan mencegah risiko banjir," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum di Merlimau semalam.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan kecemasan sebanyak RM300 kepada setiap keluarga yang terjejas akibat bencana itu di sini.
Ab Rauf turut menasihati ibu bapa supaya mengawal gerak-geri dan keselamatan anak mereka bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
"Jadi saya menyeru rakyat Melaka terutamanya di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada kerana menurut ramalan kaji cuaca, keadaan ketidaktentuan ini akan berlarutan hingga hujung tahun," katanya.
-- BERNAMA
#banjir #PPS #bantuan kecemaasan #Ab Rauf Yusoh
;