Melaka kesan cubaan sebar 'The Ahmadi'
Sinar Harian
Januari 16, 2025 15:35 MYT
Januari 16, 2025 15:35 MYT
MELAKA: Kerajaan Melaka mengesan terdapat cubaan gerakan ajaran sesat menggunakan nama 'The Ahmadi Religion Peace and Light ' atau 'Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya' yang dipromosikan di negeri ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan Melaka mengesan cubaan gerakan ajaran sesat 'The Ahmadi Religion Peace and Light' yang dipromosikan di negeri ini.
- Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memandang serius isu ini dan akan membuat laporan polis serta menjalankan siasatan terperinci.
- Kerajaan negeri kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memasang kain rentang ajaran sesat tanpa permit, yang boleh menjejaskan kemeriahan sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2026.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, sebelum ini pihaknya tidak pernah menerima sebarang laporan atau mengesan individu yang mengamalkan ajaran sesat itu di negeri ini sehinggalah dikejutkan dengan kain rentang ajaran tersebut.
Menurutnya, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) juga memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam isu-isu yang berkaitan ajaran sesat seumpama ini yang boleh menimbulkan provokasi.
Malah katanya, kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang berlangsung pada 3 Oktober tahun lalu juga telah fatwa ajaran itu sebagai sesat dan menunggu untuk diwartakan tidak lama lagi.
"Seruan saya kepada mereka-mereka ini supaya kembalilah ke jalan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jaamah (ASWJ).
"Sekiranya perlukan bimbingan, di peringkat JAIM sedia untuk memberi bimbingan kepada mereka yang terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau lokasi yang dipasang kain rentang ajaran sesat itu, di Peringgit Jaya di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat.
Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, JAIM juga akan membuat laporan polis berhubung perkara itu selain menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan pengguna jalan raya yang melalui jejantas Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) di Peringgit Jaya di sini, terkejut dengan satu kain rentang ajaran 'The Ahmadi Religion of Peace and Light' yang dipasang di situ.
Tinjauan Sinar Harian pada jam 9 pagi mendapati, kain rentang ajaran yang telah difatwakan sesat dan tertera tulisan 'Abdullah Hashem Adalah Al-Mahdi Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya' dipercayai digantung individu tidak bertanggungjawab pada malam Rabu.
Susulan itu, kerajaan negeri kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan aset kerajaan tanpa sebarang permit termasuk memasang kain rentang ajaran sesat.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan aset kerajaan tanpa sebarang permit termasuk memasang kain rentang ajaran sesat.
Beliau berkata, perbuatan itu bukan sahaja salah malah boleh menjejaskan kemeriahan dalam meraikan sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2026 yang akan diadakan di Melaka pada tahun ini. -Sinar Harian
#kerajaan melaka
#Jabatan Agama Islam Melaka
#JAIM
#ajaran sesat
#The Ahmadi Religion Peace and Light