Melaka jadi tuan rumah penganjuran HAWANA

Bernama
April 17, 2022 04:42 MYT
Annuar (tengah) menyantun pelajar dari Madrasah Tahfiz Fathur Rahman Jalan Taming Sari pada majlis Iftar Bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, di Melaka, 17 Apr 2022. --fotoBERNAMA
MELAKA: Melaka akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan berlangsung pada 29 Mei ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa berkata ia akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan penganjurannya akan dijadikan sebagai acara tahunan.
"Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan menjadi penganjur bagi HAWANA berkenaan dengan sokongan daripada Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar MenKOMM bersama komuniti negeri Melaka di sini malam tadi.
Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin.
Annuar berkata penganjuran HAWANA ini adalah mengikut penganjuran Hari Pers Nasional (HPN) yang dilaksanakan di Indonesia bagi menghargai jasa pengamal media membuat liputan berita.
BACA: Debat Najib-Anwar: Tiada pihak jumpa K-KOMM berkaitan platform penyiaran debat - Annuar Musa
Katanya, Melaka dipilih kerana ia merupakan bandar bersejarah dan mengambil sempena lokasi sejarah awal kemerdekaan negara bermula, sekali gus menjadi tempat terbaik bagi penganjuran HAWANA,
"Menerusi perbincangan antara persatuan wartawan Malaysia dan wartawan Indonesia, kita hendak memperpanjang hari wartawan untuk diadakan di Malaysia bagi menghargai profesion kewartawanan.
"Ia akan dibuat dengan satu cara lebih tersusun setiap tahun dan lokasi penganjuran diadakan secara bergilir dari satu negeri ke negeri (lain)," katanya.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #Hawana #Hari Wartawan Nasional #Melaka
;