Melaka giat promosi TMM 2024 dalam tempoh empat bulan terakhir
Bernama
September 1, 2024 17:39 MYT
September 1, 2024 17:39 MYT
MELAKA: Melaka akan mempergiat promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dengan penganjuran program-program berskala besar dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata usaha itu bagi memastikan pelancong ke Melaka mencapai sasaran 15 hingga 18 juta orang sepanjang tahun ini.
Beliau berkata bagi Oktober ini, beberapa acara antarabangsa bakal berlangsung di negeri itu termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) ke-11, Regata Antarabangsa Piala ASEAN 2024, Festival Udara Antarabangsa dan Festival Sungai Melaka.
Abdul Razak berkata Melaka telah berjaya menarik kedatangan 8.7 juta pelancong dari Januari hingga Julai lepas.
"Sepanjang Ogos sahaja banyak program besar dianjurkan antaranya Melaka International Swim Bike Run 2024 yang menghimpun peserta dari 35 negara sementara sempena cuti sekolah pada November dan Disember depan, pelbagai program menarik menanti pelancong dalam dan luar Melaka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup program Kayuhan Merdeka MADANI sejauh 18 kilometer yang disertai lebih 1,000 peserta sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Mas berkata Kayuhan Merdeka MADANI akan diangkat menjadi program tahunan kawasan berkenaan, selain acara berkonsep kesukanan lain untuk dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri pada tahun depan.
"Kita melihat aktiviti atau acara sukan berpotensi menarik kedatangan pelancong khususnya dalam kalangan anak muda. Selain beriadah, mereka juga dapat melihat keindahan yang ada di Melaka," katanya.
-- BERNAMA